Saturday, June 29, 2013

Catatan 11: Kenduri kahwin dan diet

Teks: Nurzahwani Mohd.Nor

Hujung minggu merupakan masa berkenduri kahwin. Bukan seperti dulu-dulu, kenduri kahwin selalunya diadakan musim cuti sekolah. Sekarang, umat semakin ramai, makin ramai yang mahu berkahwin. Agaknya sudah tidak cukup slot masa cuti sekolah. Terpaksa diadakan waktu cuti hujung minggu sahaja. Lagi pun, bukan ada salahnya kan?.  Cara penyediaan makanan untuk ribuan orang pun sudah mudah. Perkhidmatan katering kan ada. Macam-macam juadah boleh dipilih. Nasi minyak, nasi briyani, ayam masak merah, kuah dalca, ayam goreng, acar buah. Wah!. Sedapnya.

Bagi yang sedang memantau berat badan, atau diet, kenduri menjadi perkara menakutkan. Takut-takut tidak dapat mengawal pengambilan makanan. Ngeri!. Lepas makan pula, ada pula yang rasa lesu dan mengantuk melampau. 

Ada kajian mengatakan pengambilan makanan yang mempunyai indeks glisemik tinggi seperti nasi briyani menyebabkan perlepasan 'serotonin'. Menyebabkan rasa selesa dan mengantuk. Sedapnya tidurr.  Tapi afa juga mengatakan rasa mengantuk disebabkan gabungan makanan GI tinggi bersama dengan lemak. Wallahualam. Bagi saya bergantung metabolisme masing-masing. Bila banyak aktiviti lepas makan, manakan rasa mengantuk. Jika dilayan, kantuknya memang mengganas. 

Bagaimana caranya mahu kawal berat badan meraikan kenduri atau rumah terbuka syawal nanti?  Tips saya pergi berteman. Teman yang boleh memberi peringatan. Bukab yang menggalakkan kita makan berlebihan. Bila ambil manisan atau kuih, boleh rasa dan kongsi. Jadi, anda tidaklah terlepas peluang untuk merasa kan?. Amalkan sikap berkongsi semasa makan. 

Jadi, jangan takut pergi kenduri bagi yang berdiet. Pergi berteman dan berkongsi!.

Friday, June 28, 2013

Catatan 10:Bulan Ramadhan Bulan Nyahtoksin Badan

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google

Angin Ramadhan semakin bersepoi-sepoi. Rakan-rakan samada di talian atau pun di sekeliling mula bercerita dengan wajah berseri-seri. Saya pun tidak pasti adakah sebab pembukaan pasar ramadahan yang makanan melimpah ruah atau pun peluang tambah saham akhirat. Mana-mana pun kedua-duanya memang menggembirakan!. Yang memeranjatkan saya, di Giant sudah bersusun kuih raya untuk dijual. Lucu pula.

Ramadhan sememangya bulan rahmat untuk umat Islam. Penuh berkat. Baik dari rezeki dunia, akhirat dan juga kesihatan. Masa inilah kita mahu nyahtoksin badan!. Sediakah anda?. Jangan makan merapu-rapu masa berbuka. Bukan niat untuk menguruskan badan. Kerana sebetulnya, jika berat berkurang, bukan bermaksud lemak anda terluah keluar, tapi sebenarnya jisim otot dan air sahaja yang berkurang. Lebih buruk lagi kalau tidak jaga makan, kuantiti lemak dalam badan pula bertambah. Jadi, beringatlah, WASATIYAH.


Tips saya:-
Waktu sahur:
Makan untuk tenaga sepanjang hari. Bukan untuk kenyang. Makan sumber nutrisi yang mempunyai indeks glisemik (GI) rendah seperti bijirin, dan kurma. Sesetengah supplemen turut menyediakan produk yang mempunyai GI rendah. Ia membantu untuk anda rasa lebih bertenaga sehingga ke hujung hari. Minum dan minum air kosong sekurang-kurangnya 3 mug=750ml.

Berbuka:
Mulakan dengan kurma untuk mendapat tenaga segera. Solat maghrib dahulu supaya lebih tenang dan selesa. Sambung makan dengan makanan utama atau makanan yang anda suka. Yang penting, BERHENTI SEBELUM KENYANG. Kalau rajin, boleh kira kalori makanan anda. Lagi sekali. Minum dan minum air kosong lagi. 3 mug = 750 ml lagi.

Selepas tarawikh:
Bolehlah makan makanan yang ringan seperti kuih dan buah. Masa ini sesuai untuk makan ubat/supplement dan juga minum, minum dan minum air kosong lagi. 2-3 mug = 500-750 ml lagi.

Jika pantau makanan anda sepanjang puasa, bukan sahaja berat otot, berat air, berat LEMAK yang berkurang, TOKSIN badan juga turut disingkirkan. Anda akan rasa lebih sihat, badan ringan, mudah untuk beribadat.

Salam Ramadhan!.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Berminat untuk menjadi suri rumah berpendapatan menjaga anak dan memasak sendiri untuk keluarga anda?.
Ayuh dapatkan panduan untuk bermula dengan membeli pakej e-book di bawah. Baca santai sambil mendapat manfaat dari perkongsiaan suri rumah lain yang sudah pun berjaya!.
Pakej bermula dari RM 100.
Bagi Pakej Rm 125 ini percuma Buku Menjana RM dari Rumah.
Dapatkannya hari ini.
SMS| Whatsapp|We Chat 0136200432
e-mail: nurzahwanimohdnor@gmail.com




           

Thursday, June 27, 2013

Nutrisi untuk Warga Emas

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google


Penuaan adalah perkara semulajadi bagi manusia. Ada yang takut untuk menjadi tua. Mengapa?. Mungkin kerana kemerosotan dari segi kecantikan, kekuatan kudrat, dan yang kritikal adalah kesihatan. Walhal perkara ini sebenarnya adalah kesan daripada pola hidup sepanjang umur yang lalu. Setiap insan mempunyai pilihan untuk kekal cantik, sihat dan bertenaga. Sebenarnya penuaan berlaku sejak kita dilahirkan. Ada yang nampak tua walau pun umur baru 40 tahun, ada pula yang masih aktif lagi walaupun sudah berumur 80 tahun. Kita hanya sedar kita sudah tua bila merasakan otot mengendur, muka berkedut atau pun ada orang sudah tukar panggilan kita daripada 'kakak' kepada 'nenek'.  Jadi bacaan ini sesuai untuk warga emas sendiri, individu yang menjaga warga emas dan juga diri sendiri yang bakal menjadi warga emas.

Secara umumnya, warga emas dikategorikan bagi individu berumur 60 tahun ke atas. Pada waktu sebegini, iaitu pada umur mencapai warga emas, pengetahuan berkenaan status kesihatan, tahap aktivitinya dan kadar pemakanan memainkan peranan yang penting untuk menghubungkan makanan yang patut dihidangkan dengan nutrisi keperluan individu warga emas ini. Pengambilan makanan warga emas dipengaruhi oleh perubahan-perubahan yang berlaku pada usia tua seperti:
  • Kekurangan deria rasa dan bau 
  • Kurang daya ingatan
  • Kehilangan gigi 
  • Kurang kepadatan tulang dan kurang ketahanan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti membeli-belah atau bersiar-siar
  • Kurang keupayaan menghadam dan menyerap makanan 
  • Kurang kekuatan jantung dan paru-paru 
  • Kurang kandungan air dalam badan.
Berdasarkan kebolehan dan kekurangan di atas, sesuaikanlah hidangan makanan dengan warga emas ini. Jangan pula yang tiada gigi, disuakan pula makan kacang tanah yang keras atau buah epal ya. Bagi buah-buahan yang keras, hancurkan menjadi jus atau potong dalam bentuk yang lebih kecil. 

Kadangkala ada yang tidak lalu atau kurang selera makan. Masalah ini boleh diatasi dengan cara pujukan, makan sambil bersiar-siar dan juga makan beramai-ramai. Lupa untuk makan juga satu masalah. Kadang-kadang terlebih makan, kadang-kadang langsung tidak makan. Jadi, apa caranya? Yang muda lah kena memantau. 

Perkara yang paling penting adalah memastikan warga emas ini cukup minum air. Sekurang-kurang 8 gelas sehari. Ini adalah untuk memastikan sistem penghadaman berjalan dengan baik, membuang toksin dari badan dan mengelakkan dehidrasi. Kekurangan air menyebabkan penyakit yang dihidapi warga emas bertambah buruk. Pemeberian makanan bersup dan jus buah-buahan juga sangat digalakkan.

Contoh sajian sehari untuk warga tua 

Warga emas umumnya memerlukan antara 1800-2000 kkal sehari. Di bawah ini adalah contoh menu seharian untuk warga emas. 

Sarapan : 
Secawan bubur nasi, sesudu makan bilis tumbuk dan setengah cawan minuman bersusu
Minum pagi :
Sekeping roti mil penuh, sesudu teh jem, sebiji pisang, secawan minuman bersusu
Makan tengah hari:
Secawan nasi, seketul ayam masak kari, setengah cawan sayur bayam, sebiji limau nipis, air kosong
Minum petang :
Sepotong kuih, sebiji pisang, secawan teh O
Makan malam : 
Secawan nasi, sekeping ikan tenggiri masak asam pedas, secawan sup sawi campur tauhu, sepotong betik, air kosong
Minum malam :
Tiga keping biskut krim kraker, secawan minuman bersusu.

Sudah tentu setiap hari menu ini perlu divariasikan untuk mengelakkan rasa jemu dan menjadikan hidangan lebih menarik. Pemilihan makanan pula seperti biasa, mengikuti piramid makanan.

Makanan tambahan atau supplemen juga boleh digunakan untuk warga emas. Tetapi pastikan individu ini mendapatkan nasihat dari pakar perubatan kerana kemungkinan ubat yang diambil untuk penyakit tertentu berlawanan dengan makanan tambahan yang dimakan. Yang lebih parah, ada yang meninggalkan ubat dan makan supplemen sahaja!.
Kesimpulannya, bagi warga emas ini, nutrisi yang diperlukan hampir sama seperti individu dewasa. Cuma perlukan PEMANTAUAN dan bersesuaian jika menghidapi penyakit.

Sunday, June 23, 2013

Catatan 9 : Tahukah anda; Udang

Anda mahu kurus?
Tahukah anda sebenarnya udang mengandungi unsur yang dinamakan chitin?  Chitin merupakan sejenis polisakarida yang terkandung di dalam eksoskeleton haiwan contohnya udang. Eksoskelaton pada udang adalah kulitnya. Chitin ini diproses untuk menghasilkan chitosan dan dijual sebagai produk untuk menguruskan badan!. Ia berfungsi untuk melekatkan lemak dan membawanya keluar dari sistem badan. 
Jadi, bila mahu makan udang, telan sekali bersama kulitnya. Jangan lupa kunyah halus- halus tau. 

VITAMIN DAN MINERAL

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google

Vitamin dan mineral juga merupakan elemen penting dalam nutrisi. Vitamin dan sebahagian mineral diperlukan dalam jumlah yang sedikit. Walau bagaimanapun, jumlah yang sedikit ini pun jarang sekali kita dapat penuhi. Badan manusia tidak dapat mengsintesis vitamin dan mineral secara automatik, dan hanya memperolehinya daripada makanan yang dimakan. Persoalannya, bagaimanakah diet seharian kita?. Vitamin dan mineral wujud dalam sayuran dan buah-buahan. Sebelum bercerita tentang kecukupan jumlah vitamin dan mineral, soalan pertama yang kita harus tanya adalah, "Kita makan atau tidak sayur dan buah?". Ada antaranya yang menolak sayuran dan buah-buahan dalam diet. Bagi ibu-ibu, ada yang tahu dan suka sayuran dan buah-buahan, tapi ada yang katanya tidak sempat memasak sayur, stok buah-buahan di rumah sudah habis, malas pula mahu mengupas dan memotong buah. Nah!. Kita makankah sayuran dan buah-buahan untuk dapatkan khasiat vitamin dan mineral?.Fikir-fikirkan.

Vitamin
Vitamin diperlukan untuk imunisasi, kecantikan dan kesegaran badan. Vitamin dikategorikan sebagai mikronutrisi, iaitu nutrisi yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Selalu kita dengar ada pelbagai jenis vitamin yang wujud. Mudah saya simpulkan di sini, vitamin ada dua kategori. Vitamin larut lemak dan vitamin larut air. Vitamin larut lemak adalah vitamin A,D,E,dan K, manakala vitamin larut air pula adalah vitamin B dan C. Nama-nama vitamin B yang dicatatkan pada fakta nutrisi kadangkala mengelirukan kita kerana ada label menyebut Vitamin B2, ada yang menyebut riboflavin. Sebenarnya ia adalah vitamin yang sama!.
Di sini saya senaraikan vitamin B dipecahkan kepada lapan kompososi iaitu:-

- Vitamin B1 (tiamin)
- Vitamin B2 (riboflavin)
- Vitamin B6 (piridoksin)
- Asam pantotenat
- Niasin
- Biotin
- Asam folat
- Vitamin B12 (kobalamin).


Mineral

Nutrisi mineral dibahagikan kepada makronutrisi iaitu diperlukan dalam kuantiti yang banyak dan juga mikronutrisi; diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Natrium, klorida, kalium, kalsium, fosfat dan magnesium adalah mineral makronutrisi disebabkan keperluannya dalam kuantiti yang relatifnya banyak berbanding zat besi, seng, tembaga, mangan, molibdenum, selenium, yodium dan fluorida.

Sebagai Ketua Chef di rumah, kewajipan ibu-ibu menyediakan nutrisi lengkap untuk seluruh ahli keluarga. Jika buah-buahan, sayur-sayuran dan bijiran dapat disediakan dan dihidangkan kepada ahli keluarga, Insya Allah nutrisi vitamin dan mineral ini dapat diperolehi. Walau bagaimanapun jika anda rasa pola pemakanan ahli keluarga anda tidak tepat, makanan tambahan yang mengandungi vitamin dan mineral yang diperolehi dari farmasi atau wakil bebas supplemen, boleh juga digunakan.  Yang penting, sebagai penjaga makanan, ketua chef, ketua kantin dan apa-apa gelaran yang sesuai, ibu-ibulah yang mengetahui keperluan ahli keluarga masing-masing.

Friday, June 21, 2013

Catatan 8: Jerebu Oh Jerebu

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Jerebu oh jerebu.
Jerebu sedang melanda kawasan selatan negara. Saya sendiri yang berada di Sepang terasa penangannya. Balik ke rumah semalam dari kawasan tanah tinggi, keluar pintu kereta, terkejut dengan bau dan mata yang pedih. Begitu penangannya. Hari ini, mula terasa tekak perit dan sakit. Apa yang boleh membantu? Minum dan minum banyak air. Sebagai ibu, tanggung jawab saya untuk memastikan anak-anak juga minum air yang banyak. Banyak sekali. Sentiasa suakan air. Isi air dalam botol air, sua dan sua. Harapan saya mereka tidak sakit tekak dan demam kerana keadaan terasa bahang, berbau dan dan tidak selesa. Suami berjuang di bilik gerakan pejabat membantu Malaysia dalam krisis jerebu. Saya di rumah membantu ahli keluarga menjaga kesihatan. Harapnya urusan semua dipermudahkan Allah dan mendapat berkat.

Anda juga ingatkan ahli keluarga anda ya. Minum air, jaga kesihatan, kurangkan aktiviti luar. Yang penting, JANGAN BUAT PEMBAKARAN TERBUKA!.Termasuklah menghisap rokok dan melepaskan tambahan asap yang membuatkan nafas bertambah sesak. Bukan sahaja kesihatan penghisap rokok dalam bahaya, orang diseklilingnya juga.  Ingatkan ahli keluarga anda semua ya.

Mari kita berdoa jerebu ini tamat.

Thursday, June 20, 2013

POST-MORTEM MAKANAN

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google

Baca tajuk macam mahu lari dari topik sebenar blog ini. Apa kaitan mahu post-mortem makanan ya?. Jika mahu lebih bijak nutrisi, kenalah belajar post-mortem hidangan anda. Kita telah pun bercakap panjang tentang jenis-jenis nutrisi yang wujud. Protein, karbohidrat, lemak, vitamin, dan mineral Harapan saya, walaupun anda tidak dapat mengingati intipati keseluruhannya, anda sudah dapat memahami konsep makanan dan nutrisi yang sebenarnya.

Jadi apa tunggu lagi, kita makan dulu!. (“,). Sudah ada lauk dan nasinya?. Mari kita geledah aka post mortem hidangan anda. Apa nutrisinya?. Kita bincangkan beberapa menu ya. Sebagai contoh untuk kefahaman. Kenapa kena buat begini agaknya ya?. Nampak macam remeh. Tapi lama-kelamaan insya Allah terbiasa. Walau pun saya tidak lah buat hari-hari dan selalu, tapi memadai anggaran dan mengetahui nutrisi utama makanan yang akan anda ngap ngap ngap itu.


Apa yang saya bakal kongsikan ini bukanlah panduan lengkap. Ia hanyalah cara mudah untuk membuat anggaran nutrisi hidangan. Kandungan nutrisi dalam makanan yang dinyatakan juga adalah ringkas.

Contoh Menu Satu


Bihun goreng (disediakan di rumah).
Air Teh O.
Bahan-bahan/Resepi.
Kandungan Nutrisi
Bawang putih
Karbohidrat ,gula, serat, lemak, protein, beta karotin , thiamine (vitamin B1), riboflavin (vitamin B2), niacin,  asid panthitenik , Vitamin B6,  folate, vitamin C kalsium, zat besi, magnesium  , kalium , natrium dan zink, mangan dan selenium
Kicap
Lemak, karbohidrat, protein fiber
Bihun
Lemak, protein, fiber, karbohidrat
Ayam
Protein, kalsium, fosfor ,zat besi, vitamin A, C juga E
Garam
Sodium, kalsium, zat besi
Bawang merah
Vitamin C, potassium, serat dan Acid Folic selain itu juga mengandung kalsium, zat besi dan protein,efek antiseptik 
Cili boh
 Vitamin C dan sejumlah kecil karotena (provitamin A). vitamin B, dan vitamin B6, kalium, magnesium, besi
Taugeh
Karbohidrat, protein, kalium, sodium, besi, fosfor, vitamin A, vitamin B1, vitaminB2, vitamin B3, vitamin C.
Teh
 Protein, karbohidrat, lemak, kalsium, fosfor, zat besi, vitamin A, vitamin B1.
Gula
Karbohidrat, kalsium, fosfor

Contoh Menu Dua
Nasi putih
Asam pedas ikan parang
Sambal ikan bilis
Sayur kobis goreng.

Bahan-bahan/Resepi.
Jenis Nutrisi
Nasi
Protein, karbohidra, lemak, kalsium,fosfor, zat besi, vitamin A  vitamin B1 dan vitamin C.
Bawang merah
Vitamin C, potassium, serat dan acid Folic selain itu juga mengandung kalsium, zat besi dan protein,efek antiseptik 
Bawang putih
Karbohidrat ,gula, serat, lemak, protein, beta karotin , thiamine (vitamin B1),riboflavin (vitamin B2) niacin,asid panthitenik (Vitamin B6),  folate , vitamin C kalsium,  zat besi, magnesium  , kalium, natrium dan zink kandungan zat lain ialah seperti mangan dan selenium
Halia
Kaya dengan kandungan kalium,  fosforus, dan kalsium, protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin.
Kunyit
Protein, karbohidrat, lemak, kalsium, fosfor, dan zat besi.  Selain itu di dalam kunyit juga terkandung sedikit vitamin A, vitamin B1 dan vitamin C.
Belacan
Protein, lemak, karbohidrat, mineral, kalsium, Fosfor, zat besi
Cili boh
 Vitamin C dan sejumlah kecil karotena (provitamin A). vitamin B, dan vitamin B6, kalium, magnesium, besi
Asam jawa
Karbohidrat, serat, sedikit kandungan lemak dan protein. Asam Jawa juga merupakan sumber zat besi dan vitamin C, vitamin B seperti thiamin dan niacin serta merupakan sumber yang baik dari magnesium dan potasium.
Ikan parang
Omega-3,Eicosapentaenoic acid/EPA,Docosahexanoic acid/DHA), yodium, selenium, flourida, zat besi, magnesium, zink, taurin, co-enzyme Q10. 
Garam
Sodium, kalsium, zat besi
Sayur kobis
Vitamin A, B, C, dan E. Mineral yang banyak dikandung adalah kalium, kalsium, fosfor, natrium, dan besi
Cili merah
Vitamin C dan sejumlah kecil karotena (provitamin A). vitamin B, dan vitamin B6, kalium, magnesium, besi
Ikan bilis
lemak omega-3, protein, vitamin E & D, mineral kalsium dan selenium, fosfor zat besi, Vit A dan Vit B

Macam mana?. Payah atau tak payah?. Nampak macam susah mahu ingatkan. Ini cuma pengetahuan. Tapi lama-lama anda pasti dapat. Sekurang-kurangnya kenalpasti mana satu makanan yang mengandungi nutrisi utama protein, lemak dan karbohidrat.

Apa tips untuk memudahkan cara mahu kenalpasti nutrisi. Perkara pertama yang penting, masak sendiri di rumah. Anda pasti tahu bahan apa yang anda gunakan. Seterusnya, fokus dan fahami nutrisi. Pengalaman akan mengajar kita. Sebenarnya kita dapat memperolehi  semua nutrisi yang perlukan melalui makanan seharian kita. Masalahnya adalah kadar kecukupannya. Perkara ini akan disentuh akan datang.

Cara post-mortem makanan lebih praktikal untuk mengetahui dari mana kita boleh memperolehi sumber nutrisi yang sesuai untuk kita. Ingat di dalam fikiran kita perlukan protein-karbohidrat-lemak-vitamin dan mineral dalam hidangan yang kita makan setiap hari. Jika hidangan kita tiada nutrisi ini, bermaksud kita kekurangan nutrisi. Kuantiti yang diperlukan?. Akan dibincang di bab akan datang.

-Makan untuk sihat-

Monday, June 17, 2013

Lemak dan Anda.

Teks; Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google.

Apabila baca saja perkataan lemak, ramai yang tersentap. Terutamanya wanita yang berbenjol-benjol di bahagian perut, selepas mengandung dan bersalin. Jadi, bila nak kurus saja, dalam fikiran mesti “katakan tidak pada lemak!”. Ada apa dengan lemak?. Ada lemak yang hodoh dan kita sama sekali kita tak perlukan. Tetapi ada juga lemak yang kita perlu, bahkan untuk menjadi kurus juga. Kenali dan fahami lemak. Ia memberi faedah kepada anda.


Lemak dan minyak. Ia sama tapi tak serupa. Bagaimana mahu membezakannya?. Mudah sahaja. Dalam bahasa yang mudah, lemak dalam bentuk pejal, seperti mentega dan minyak sapi. Minyak pula dalam bentuk cair seperti minyak masak di dapur anda. Yang pasti bukan minyak yang di stesen petrol ya. Itu adalah petroleum. Sudah faham kan?. Mudah saja.

Walau bagaimanapun secara spesifiknya ia berkaitan dengan kandungan kimia yang ada dalam lemak dan minyak itu sendiri. Pernah dengar tentang lemak tepu, lemak tak tepu dan trans lemak? Haa.. itu lah yang membezakan keadaan kepejalan dan kecairan lemak dan minyak ini. Bukan tidak tahu, tapi belum faham. Mahu faham lebih lagi. Mari fokuskan minda anda.

Minyak dan lemak terbentuk daripada sebatian trigliserida. Ia biasanya larut dalam sebatian organik dan tidak larut air. Normal kan bila kita melihat minyak dan air tidak bercampur. Tapi ada keadaan ia boleh bercampur tau. Tapi ia bukanlah focus di sini. Fungsi utama minyak dan lemak adalah menjadi sumber kalori, menyediakan asid lemak perlu untuk badan, membawa vitamin dan unsur larut lemak (Vitamin ADEK) serta menjadi agen pembawa perasa, dan tekstur makanan. Banyak kepentingan lemak dan minyak ini. Sebab itulah Malaysia gemarkannya!.

Apakah yang dikatakan dengan lemak tepu, lemak tidak tepu dan trans-lemak serta kaitannya dengan kesihatan?.

Dalam bahasa yang mudah, lemak tepu tidak mempunyai ikatan ganda dua dalam struktur kimianya. Lemak tidak tepu pula adalah lemak yang mana pada struktur gliseridanya wujud ikatan ganda dua. Manakala trans-lemak menunjukkan kedudukan kumpulan berfungsi asid lemak ini berada dalam kedudukan bertentangan pada ikatan ganda dua. Bermaksud, tiada ikatan ganda dua, tiadalah trans-lemak.

Oh. Sangat mengelirukan? Jangan risau.
Saya simpulkan saja:-

Jangan makan: Trans-lemak (trans-fat), selalunya ada dalam fast food. Sebab utama meninggikan kolesterol jahat LDL dan merendahkan kolesterol baik = risiko PENYAKIT JANTUNG!.


Makan dalam kuantiti yang sedikit dan terkawal: Lemak Tepu (saturated fat). Banyak sumber contohnya minyak kelapa, daging-maging. Terlalu banyak lemak tepu di dalam diet anda akan menyumbatkan arteri. Hati-hati!.

Elok untuk dimakan: Lemak tak tepu (unsaturated fat). Contoh sumber, minyak zaitun, dalam minyak sawit pun ada, ikan. Lemak yang diperlukan oleh tubuh dan tidak terhasil dengan sendiri (essential fatty acid) juga dari kalangan lemak tepu ini. Senang ingat, yang ada tulis omega-3 dan omega-6 itulah.

Ada satu isu lama yang sering ditimbulkan iaitu berkenaan pemilihan antara marjerin dan mentega. Daripada artikel ini, jelas menunjukkan mentega lebih baik berbanding marjerin. Antara isu yang diketengahkan adalah berkenaan trans-fat dan struktur yang menyamai plastik.

Sejauh mana kebenarannya?.Terus baca lagi ya.

Berkenaa trans-fat, memang ada betulnya. Tapi tidak berkait dengan marjerin minyak sawit. Ini kerana marjerin minyak sawit mempunyai kehebatannya sendiri disebabkan kandungan kimianya yang mengandungi lemak tepu dan tidak tepu (saya terangkan di atas). Atas sebab kandungan kimianya yang bagus, menyebabkan sifat fizikalnya mudah dibentuk untuk menjadi keras=marjerin, dan bukan cair=minyak. Bagi minyak yang lebih banyak lemak tidak tepu, ia bersifat lembut dan susah untuk keras=marjerin. Lebih kepada lembut=minyak. Jadi proses hidrogenasi dijalankan untuk wujudkan lemak tepu. Semasa proses inilah terjadinya molekul trans-lemak yang jahat itu. Kesimpulannya, bukan semua marjerin adalah tidak bagus disebabkan kandungan lemak trans.

Berkenaan struktur molekul seperti plastic pula, sebetulnya semua bahan mempunyai struktur molekul panjang dan pendek dan mengandungi unsur karbon, dan hidrogen. Yang membezakannya adalah sifat kimia dan fizikal. Jadi, saya tidak faham mengapa marjerin sahaja dikaitkan dengan molekul plastic bukan pula mentega.

Diharap pembaca dapat memahami serba sedikit konsep yang saya cuba sampaikan. Kaji dan faham perkara asas sebelum mempercayai sebarang konspirasi ya.

Ada juga yang pernah bertanyakan pada saya tentang minyak apakah yang bagus untuk digunakan di rumah?. Bagi saya, minyak zaitun mempunyai sifat kimia yang hebat. Ia juga disebut-sebut di dalam al-quran dan tidak pula minyak sawit kan?. Sesuai dengan harganya yang mahal. Bagi yang kurang mampu, saya cadangkan anda pilih minyak yang dicampur (blended oil). Kenapa?. Gabungan minyak ini sudah tentu ada sebabnya. Untuk menghasilkan nisbah lemak tepu dan lemak tak tepu yang sesuai. Ia dapat membantu kesihatan jantung anda!. Ini berdasarkan kajian sains tau. Bukan kata-kata saya.

Macam mana mahu tahu kandungan lemak dalam makanan ya?. Mudah bangat!. Baca saja fakta nutrisi pada label makanan. Selalunya ada dituliskan disitu kandungan lemak, protein dan karbohidrat serta nutrisi yang lain.


Bagi yang mahu kurus, jangan terus buang lemak dari kehidupan anda. Anda Cuma perlu pilih jenis lemak. Makan lemak yang sihat, dan jangan makan lemak yang tidak sihat. Lemak juga perlu untuk tenaga anda untuk membuang lemak-lemak hodoh yang ada. Apa yang penting, untuk kurus, jaga kalori dan senaman.

Saturday, June 15, 2013

Catatan 7: Cuti Riang Ria dan Bekal

Teks : Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google.

Cuti sekolah sudah lama berakhir. Tapi percutian kami sekeluarga masih lagi terngiang-ngiang. Walau pun tempatnya dekat sahaja dan tidak mengambil masa berhari-hari, tapi percutian itu masih lagi membuahkan hasil yang saya mahu untuk anak-beranak kami. Maklumlah, ini kali pertama saya bawa anak-anak saya bercuti sempena meraikan cuti sekolah. Anak-anak pun sudah mula faham maksud bercuti sekolah.

Percutian kami dekat sahaja. Di i-City Shah Alam. Mungkin ada yang gelakkan saya. Dekat sungguh Sepang ke Shah Alam. Tapi sungguh, kami sekeluarga tak pernah ke i-City (malu). Tapi memang hajat saya mahu bawa anak-anak bermain di taman tema, jadi, saya membuat kajian di internet tempat-tempat yang sesuai dengan kesesuaian masa, bajet dan kemudahan perjalanan untuk keluarga yang ada anak kecil umur 5 tahun dan 3 tahun. Mulanya saya cadangkan ingin ke Mines Wonderland, sumpah tidak tahu rupanya ia dah ditutup lama dulu. Jadi keputusannya ke i-City. Mujur saya buat juga pembacaan tentangnya. Boleh buat persediaan.

Awal pagi saya sudah pun bangun untuk menyiapkan bekalan. Saya fikir tentu susah untuk membeli di kawasan yang ramai orang. Jadi saya bawa makaroni goreng dan sardine roll. Yang penting air kosong. Semua bekalan dan barang anak-anak (susu, pampers,baju tambahan) saya muatkan dalam satu beg sandang. Mengikut pembacaan, di sana ada Snow Walk. Kalau mahu masuk, elok jika bawa stokin, pakai kasut, baju sejuk. Jadi saya muatkan semuanya dalam beg sandang kedua. Dua beg sandang, satu saya pikul, satu lagi untuk suami. Mudah daripada membawa bakul. Kadang-kadang bila berjalan, saya bawa bakul untuk meletakkan bekalan. Kali ini bawa beg saja lebih mudah.

Tiba di sana, sudah pun tengah hari. Alhamdulillah orang tidaklah seramai yang saya sangka. Mungkin waktu itu pertengahan minggu. Jadi kami beriang-ria tanpa perlu bersesak-sesak. Di sana ada pelbagai tempat yang berpisah-pisah, bukan di bawah satu bumbung yang sama. Setiap satu kemasukan perlu ada tiket. Mengikut keseuaian masa dan anak-anak, kami memilih Snow Walk, iKids World, Ferris Wheel dan Car Ride sahaja. Tapi itu pun sehingga ke maghrib!. Banyak masa yang dihabiskan di iKids World. IKids World merupakan in-door playground untuk kanak-kanak. Lebih santai untuk ibu bapa. Boleh duduk-duduk, makan, dan bersosial. Ada yang siap tidur di situ. Mujur saya bawa bekal. Memang seronoklah anak-anak. Sambil bersosial, sambil makan, sambil main.

Sebenarnya, saya memang suka konsep berjalan dan membawa bekal. Memandangkan anak-anak saya jenis suka makan, jadi konsep ini memang berbaloi. Anak-anak pun mudah di bawa ke sana sini tanpa membuatkan mereka meradang kerana kelaparan. Walau pun hanyalah biskut, sekurang-kurangnya dapat mengalas perut yang kelaparan. Siapalah tahu apa yang akan berlaku sepanjang perjalanan. Bekal dapat menyelamatkan keadaan. Tapi jarang pula saya masak bekalan berat, nasi dan lauk pauk yang banyak, kecuali waktu-waktu tertentu seperti untuk berbuka puasa.

Gambar hiasan. Tiada kena mengena dengan bisnes saya.


Saya mewarisi konsep ini daripada emak saya. Ia perkara biasa untuk emak saya membawa bekal. Jarang sungguh kami berjalan-jalan dan singgah makan dikedai. Kami singgah di R&R, di Masjid dan kadangkala di kebun kelapa sawit. Indah sungguh memori itu. Jika kami berjalan satu Malaysia pun, emak saya akan bawa dapur gas kecil, bawang, garam, kuali. (<_____>). Percaya tak?. Kami memasak di Chalet atau khemah. Macam pengakap!. Semua ahli akan ada tugas masing-masing. Masak sama-sama. Bila waktu makan, masing-masing rasa seronok. Penat? Renyah? Tak terasa pun.

Masa itu, saya kurang faham dan tak pernah bertanya kenapa. Sekarang, saya tahu banyak kelebihan bawa bekal.
[1] Jimat!
[2] Cepat
[3] Tidak perlu bersesak-sesak
[4] Tidak perlu risau mahu makan di mana?
[5] Makanan sihat. Sudah tentu dari dapur sendiri, tangan sendiri yang memasak, tahu asal-usul makanan, boleh  tahu apa yang sesuai untuk keperluan nutrisi ahli keluarga. Minyak yang digunakan pun bukanlah digunasemula 30 kali!.

Banyak lagi kelebihannya. Yang penting, KERAJINAN!. Anda setuju? Cuba lah.
Antara perkara penting masa bawa bekalan,
-Jangan lupa bawa sudu/garpu. Lagi bagus jika letakkan satu di dalam kereta. Kalau emak saya, ada sahaja 1 sudu di beg tangannya.:). Lucu tapi berguna.
-Bawa tisu basah berbanding tisu biasa. Sangaat berguna.
-Gunakan bekas yang boleh digunakan sebagai pinggan.
-Sentiasa sediakan beg plastik. Banyak faedahnya.

Itu sahaja yang dapat difikirkan. Anda mungkin ada tips yang lain. Jom kongsikan dengan saya.

Wednesday, June 12, 2013

Kenali Nutrisi Protein

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian goole.

Protein. Yang mana satu???

Ramai yang mengetahui kita perlu makan protein, tapi mahu makan apa sebenarnya?. Betulkah makanan dalam pinggan ini dikategorikan sebagai protein?. Jom ketahui lanjut lagi.

Protein membina, mengekalkan dan membaiki tisu badan anda. Badan kita menggunakan protein untuk menjalankan tugas yang spesifik contohnya hemoglobin mengangkut oksigen, atau protein membentuk organ yang mengepam darah ke seluruh badan!. Ya. Kesemua otot, organ dan juga system imunisasi dibentuk dengan bantuan protein yang dimakan. Ironinya, lebih banyak protein habis digunakan oleh sistem badan daripada jumlah protein yang biasanya diperolehi dari diet individu. Membaiki fungsi badan dan sel sangat penting kerana badan kita sering mengalami ‘kelusuhan’ akibat aktiviti seharian. Jadi, bayangkan betapa pentingnya protein ini. Satu lagi fungsi protein adalah membekalkan glukosa untuk memberikan tenaga ketika kita dalam keadaan kebuluran. Wah!. Menambah lagi kepentingan protein untuk badan kita.

Sebelum tahu jenis makanan bernutrisi protein, mari berkenalan dulu dengan protein ini. Protein merupakan komponen kedua terbanyak dalam badan selepas air. Kadangkala ia dijelaskan sebagai rantaian panjang dengan pelbagai bentuk manik. Setiap butiran manik sebenarnya adalah unit asid amino. Asid amino akan bergabung untuk membentuk jenis-jenis protein yang pelbagai.

Saintis menemui terlalu banyak jenis rantaian amino asid di dalam protein. Walau bagaimanapun, hanya 22 antara rantaian ini yang penting untuk kesihatan manusia. Walau bagaimanapun daripada 22 jenis amino asid ini hanya sembilan [9] yang dikategorikan sebagai asid amino perlu, lapan [8] asid amino yang diperlukan dalam kes-kes tertentu. Asid amino perlu adalah phenylalanine, valine, threonine, tryptophan, isoleucine, methionine, leucine, lysine, andhistidine. Manakala cysteine, tyrosine, dan arginine merupakan contoh asid amino yang menjadi keperluan untuk tumbesaran bayi dan kanak-kanak.

Anda rasa peningkah dengan nama-nama asid amino ini?. Jangan risau, ia hanyalah pengetahuan sahaja. Bukan perlu dihafal untuk ambil peperiksaan. Yang penting, anda memahami apakah maksud asid amino perlu dan juga asid amino tidak perlu.

Asid amino perlu (essential amino acids) adalah asid amino yang tidak dapat disintesis atau dihasilkan oleh badan. Kita hanya memperolehi asid amino ini daripada makanan yang dimakan. Sudah tentu bernutrisi protein. Jika tidak, ia tidak akan wujud di dalam badan, seterusnya fungsi asid amino terhadap system badan akan terencat. Perumpamaannya seperti posmen yang tidak wujud di pejabat pos. Siapa yang akan menghantar pesanan online anda?.



Sebaliknya, jenis asid amino yang kedua iaitu asid amino bermakna asid amino ini dapat dihasilkan oleh badan kita tanpa kita fikirkan pun!.Ya. Anda tidak perlu risaukannya. Syukurlah!.

Mahu tahu apakah contoh-contoh makanan yang mengandungi asid amino lengkap untuk keperluan anda dan keluarga anda?. Teruskan bersama saya menyelongkar isi makanan yang ada ya!.

Monday, June 10, 2013

Catatan harian 6: Di sebalik tarikh luput minuman kultur

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Saya dan anak-anak memang gemarkan minuman berkultur ini. Ia membantu sistem perkumuhan. Jika ada masalah, inilah yang kami cari. Lagi elok dari enema.
Tahu tak asal usul bakteria yang digunakan untuk minuman kultur adalah daripada najis bayi yang pertama. Ya! Yang hitam tu. Ada istilah nya. Saya tak dapat nak ingatkan istilah itu. Tapi jangan risau. Itu yang Dr Shirota tu pakai. Sekarang bakteria yang ada hanyalah kultur bakteria. Insya allah Yakult halal diminum. Fatwa berkenaannya ada di bincangkan. Boleh cari maklumat ini di Jakim. 
Anda mahu tahu lagi? Ia tentang tarikh luput yang ada pada botol minuman kultur tersebut. Tarikh luput itu menandakan tahap optimum bakteria boleh berfungsi dengan baik. Selepas dari tarikh luput, minuman kultur belum basi dek kekuatan bakteria yang ada. Hebat kan penemuan Dr Shirota. Hebat lagi Allah yang menciptanya. Sebut Subhanallah. 
Jumlah bakteria dalam minuman kultur akan berkurangan selepas tarikh luput itu. Fungsi minuman kultur untuk sistem perkumuhan pun berkurang. Sampai lah bakteria habis, barulah minuman basi. 
Jadi, anda mahu minum dua tiga hari lepas tarikh tutup pun masih boleh. Tepuk dada tanya selera. 

Kajian fungsi minuman kultur terhadap masa ini dilakukan oleh rakan seperjuangan di UTM dulu. Menarikkan kajian beliau. 
Kongsilah dengan saudara anda supaya ilmu ini memberi manfaat. 

Sunday, June 9, 2013

Catatan harian 5: SIHAT ITU MAHAL!

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Saya tengah baca buku bertajuk sihat itu mahal. Walau pun saya tak bersetuju dengan tajuk besar karangan penulis seberang ini, saya masih membelinya kerana garapan isi kandungannya. Saya baca sambil lalu dan tertarik cara gabungan ilmu kedoktoran beserta dalil dan hadis. Sebelum ni, jarang saya belek buku penulis seberang. Sub topik dalaman buku juga menarik hati saya untuk membelinya. 
Tapi, saya memang tak setuju tajuk yang diberikan. Pendapat peribadi saya, sihat lebih murah berbanding SAKIT. Makanan berkhasiat boleh dicari dan diusahakan dengan harga serendah sepuluh sen. Boleh dibuat di dapur pula tu. Kalau perlukan supplemen (bukan ubatan) pun sebiji ada yang harganya jatuh 14sen sahaja sebiji. 
Kalau sakit pula? Pergi ke klinik pun jumpa doktor pun perlu dicaj.  Ubatan lagi. Kalau pilihannya di klinik swasta, tambah lagi ongkosnya. 
Jika sakit parah perlu dimasukkan ke hospital lagi lah pening memikirkan keperluannya. (Banyakkan berdoa agar sentiasa dikurniakan rezeki kesihatan yang baik, YaWahhab). 
Selalu kita dengar tabung bantuan kebajikan untuk orang sakit. Tak pernah pulak saya dengan tabung bantuan untuk   kesihatan. Mesti sebab sakit tu ongkosnya lebih besar berbanding sihat kan? 
Anda pula sependapat dengan saya kah?
Mungkin juga maksud penulis kos untuk menjadi sihat selepas sakit itu mahal?
Yang penting jaga saja kesihatan yang dikurniakan pencipta. 
Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. 


Saturday, June 8, 2013

Indeks Glisemik dan Karbohidrat. Ada kaitan dengan berat badan juga?

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google

Apa itu Indeks Glisemik/Glycemic Index (G.I)?

Indeks glisemik adalah indeks atau senarai yang menempatkan kedudukan karbohidrat berdasarkan impaknya (karbohidrat) terhadap paras gula dalam darah. Untuk perumpamaan yang lebih mudah, ia seperti google search. Indeks google search berdasarkan berapa banyak hit pencarian di laman web, indeks glisemik pula berdasarkan berapa cepat karbohidrat mengurai dan member kesan kepada paras. Semakin tinggi indeks glisemik maksudnya semakin pantaslah karbohidrat mengurai dan semaik cepatlah paras gula dalam darah meningkat. Sebaliknya indeks glisemik yang rendah maksudnya karbohidrat mengurai secara perlahan dan membebaskan glukosa ke dalam darah. Pengiraan indeks ini adalah berdasarkan 50g karbohidrat. 


Boleh ingatkah?. Ini ada kaitan dengan penjagaan berat badan dan mengelakkan diabetes juga tau.

Indeks glisemik karbohidrat yang tinggi memerlukan sistem badan merembeskan insulin yang banyak yang dikenali sebagai keadaan insulin spike. Keadaannya seperti episod di bawah:-

Ruby makan sejenis nutrisi berkarbohidrat dengan indeks glisemik tinggi. Episod ini mengambil tempat di dalam system badan.
Pankreas : “Oh karbohidrat dah dipecahkan lah. Wah! Banyaknya glukosa. Rakan-rakan insulin, tolong angkut   glukosa ni ke seluruh badan. Rajin-rajin ya. Cukup tak anggota insulin?”.
Insulin     : “ Tak cukup la pancreas. Boleh sediakan lagi anggota insulin?”
Pankreas : “Beres!. Nah insulin yang banyak.” (Berlaku insulin spike).
Selepas beberapa ketika, insulin berjaya mengangkut kesemua glukosa. Tetapi ada anggota insulin yang tak sempat merasa membuat kerja pun. (Lebihan insulin).
Insulin    : “Aik?. Glukosa dah habislah. Rasa macam sikit pulak glukosa ni. Bos Otak, Glukosa tinggal sikit lah. Tambah la lagi. Kami ada yang tak buat kerja lagi ni.”
Otak     : “ Ok. Kejap lagi kita masukkan glukosa lagi. Hantar isyarat pada perut supaya rasa lapar ya.”
Oleh sebab itu, perut pun rasa lapar, dan Ruby makan lagi dan lagi. 

Moral daripada cerita ini, jangan makan karbohidrat berindeks glisemik tinggi. Pilihlah makanan berindeks glisemik rendah. Mudahnya jangan makan manis-manis. Sebab tu Kementerian Kesihatan sarankan, “satu sudu sudah mencukupi”.

Ibu-ibu, latihlah anak-anak kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Ia boleh dilatih dari kecil. Tak percaya, cuba anda kurangkan gula dalam minuman selama 2-3 bulan. Kemudian cuba pula sekali tingkatkan gula dalam minuman. Anda akan rasa kengerian manis gula itu. Cuba tau!.

Oh, mahukan carta indeks glisemik? Nanti saya kongsikan di entri akan datang ya. Teruskan membaca.

Thursday, June 6, 2013

Karbohidrat, Glikogen dan Lemak. Kaitannya untuk hindar obesiti dalam keluarga.

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Gambar: Carian Google.

Glikogen merupakan glukosa berlebihan yang tidak diperlukan oleh sel yang bertukar menjadi polisakarida, unsur yang lebih ‘jimat ruang’ dan disimpan dalam bentuk glikogen (glycogen) di hati dan juga sel otot. Fungsi glikogen adalah menyediakan tenaga untuk kerja otot, menyediakan bahan bakar untuk sistem saraf pusat, membolehkan berlakunya metabolisme lemak, mencegah protein daripada digunakan sebagai tenaga.

Saya pernah mengatakan pengetahuan glikogen penting semasa melakukan senaman untuk memecahkan lemak. Glikogen yang disimpan adalah sumber tenaga yang akan digunakan ketika tubuh memerlukan lebih banyak glukosa daripada yang sedia di aliran darah (misalnya, ketika melakukan latihan sukan).

Secara umumnya, senaman fizikal selama 20 minit terawal hanya menggunakan tenaga daripada glikogen sebagai tenaga. Untuk memecahkan lemak, individu perlu melakukan senaman fizikal lebih daripada 20 minit, dengan syarat tidak makan makanan berkarbohidrat tiga jam sebelum itu. Bila lemak dibakar, maka berat badan akan turun!.

Mahukan penjelasan lebih lagi?

Saya andaikan glikogen adalah duit tunai di dompet anda dan lemak adalah duit dalam bank. Bila individu melakukan aktiviti fizikal, umpamanya dia berbelanja di kedai. Sudah tentu akan menggunakan duit di dompet dahulu bukan?. Bila duit di dompet sudah habis, barulah “cucuk” duit di ATM dan dibelanjakan. Begitulah dengan glikogen dan lemak tadi.


Bagaimana mahu membakar lebih lemak?. Panjangkan saja waktu aktiviti fizikal atau jangan makan unsure karbohidrat bagi mengurangkan glikogen dalam hati dan otot. Mudah dan menarikkan?. Tinggal dipraktikkan sahaja. Jadi ibu-ibu, ketahui perkara ini untuk dijadikan panduan dan amalan keluarga sihat anda.

Karbohidrat Polisakarida dan Olligosakarida

Teks : Nurzahwani Mohd Nor
Gambar: Carian google


Saya ingin menyambung lagi berkenaan karbohidrat dan pecahannya. Saya telah pun terangkan berkenaan monosakarida iaitu contohnya adalah glukosa. Contoh sumber glukosa adalah gula buah. Contoh disakarida pula adalah gula
tebu iaitu fruktosa dan gula susu iaitu laktosa.

Perlu difahamkan monosakarida merupakan satu unit gula ringkas manakala disakarida adalah gabungan dua unit gula ringkas. Makin banyak gabungan gula ringkas ini, ia semakin kompleks dan sukar dipecahkan atau diuraikan. Perumpamaannya seperti sebatang lidi, jika ia sebatang mudah lah dipatahkan. Bagaimana jika ia serumpun?.

Berbalik kepada pecahan karbohidrat yang lebih kompleks iaitu polisakarida. Polisakarida adalah karbohidrat yang berkanji. Contoh makanan yang mengandungi nutrient polisakarida adalah pisang, jagung, beras, spaghetti, keledek goreng dan seumpamanya.

Olligosakarida lebih dikenali untuk fungsi perkumuhan. Ia selalunya adalah gabungan dua hingga 10 monosakarida. Sumber olligosakarida selalunya berada dalam sayuran dan buah-buahan, terdapat juga dalam bawang dan asparagus. Sebab itulah kita digalakkan makan sayuran dan buah-buahan jika ada masalah sembelit. Kerana fungsi olligosakarida!.

Lobak juga sumber olligosakarida yang bagus. Tetapi pastikan ia dimasak selama satu jam!. Ingat. Satu jam ya. Jangan kurang. Jika anda masak sayuran yang mempunyai lobak, masukkan dahulu lobaknya dan pastikan ia dimasak selama satu jam. Atau jika masak sup, masukkan jua lobak bersama kentang dahulu supaya proses memasak itu dapat memecahkan struktur kimia di dalam lobak kepada rantai yang lebih pendek yang diperlukan untuk biovailabiliti. Ingat TIPS ini ya. Tetapi, harus juga diingat, anda sudah tentu kehilangan vitamin A di dalamnya. Sedih pula. Pilihlah ikut keperluan ya ibu-ibu. Untuk keluarga anda!.



Tuesday, June 4, 2013

Kenali karbohidrat pembekal tenaga untuk anda

Teks: Nurzahwani Mohd Nor.
Gambar: Pencarian google.

Karbohidrat adalah salah satu sumber nutrisi utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Satu perkataan mudah yang dapat menjelaskan karbohidrat adalah TENAGA. 



Bagi menjelaskan karbohidrat dengan lebih mendalam, anda harus bersedia membaca setiap patah perkataan-satu-persatu. Supaya lebih faham dan ingat.

Karbohidrat adalah unsur organik yang terdiri daripada atom karbon-hidrogen-oksigen. Dalam kajian biokimia karbohidrat secara spesifiknya adalah sakarida (saccharides).Sa-ka-ri-da. Jangan pula takutkan bunyinya. Ya. Memang bunyinya ala-ala labah-labah. Tapi ia tak ada kaitan langsung!. Ok. Sakarida terbahagi kepada empat kumpulan utama iaitu monosakarida, disakarida, oligosakarida dan polisakarida. Saya percaya dalam banyak-banyak sakarida yang ada, oligosakarida macam biasa didengari, tapi di mana ya??. Macam ada lagu-lagu iklan di televisyen kan?. Anda ingat atau tidak?.

Saya akan jawab di penghujung bab nanti.

Lazimnya, sakarida yang mempunyai molekul yang lebih kecil dikenali sebagai GULA *. 
“Ooohh..itu ke?”
Ya saya dengar fikiran anda. Mudah saja bukan. Ia adalah gula. Bukan labah-labah.

Contoh sakarida ringkas adalah gula buah merupakan monosakarida glukosa, yang selalu ditemui dalam tumbuh-tumbuhan. Gula tebu pula merupakan disakarida fruktosa, manakala unsur gula susu adalah adalah disakarida laktosa.

Ada apa dengan glukosa.


Sistem badan kita akan menguraikan karbohidrat kepada unsur yang lebih ringkas, (contohnya kanji/nasi) kepada monosakarida dan disakarida dan kebanyakkannya adalah glukosa. Glukosa merupakan satu kejadian yang hebat kerana ia adalah bahan api untuk badan kita (dan glukosa tak pernah merungut dinaikkan harga untuk diproses dalam badan!). Kehadiran glukosa yang tinggi di dalam badan akan menyebabkan organ pancreas merembeskan hormone insulin. Macam pernah dengar juga kan?. Insulinlah yang membantu mengangkut gula daripada dalam darah kepada sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga dan menjalankan fungsi tubuh. Wah!. Hebat ciptaan Allah kan. Sebut SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH.

Glukosa berlebihan yang tidak diperlukan oleh sel akan bertukar menjadi polisakarida, unsur yang lebih ‘jimat ruang’ dan disimpan dalam bentuk glikogen (glycogen) yang berada di hati dan juga sel otot **. Jika anda mahu kurus, ingat perkataan glikogen ini supaya faham konsep bersenam untuk menguruskan badan ya.

Cukup dulu berkenaan glukosa dan saya akan sambung lagi berkenaan karbohidrat dalam entri seterusnya.

Oh ya. Masih berfikir berkenaan olligosakarida tadi. Ia adalah produk minuman. Olligo-Coco.:)

Rehatkan minda anda sebentar dan sambung lagi pembacaan anda jika mahu tahu perkara menarik berkenaan unsur nutrisi karbohidrat. Penting untuk menjaga berat badan ideal anda dan keluarga anda tau.


Rujukan:
*Flitsch, Sabine L.; Ulijn, Rein V (2003). "Sugars tied to the spot". Nature 421 (6920): 219–20.doi:10.1038/421219aPMID 12529622.
** http://kidshealth.org

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts