Friday, July 5, 2013

Nutrisi Pelengkap bagi bayi 6 bulan ke atas

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian Google

Proses peralihan bayi dari lima ke enam bulan merupakan perkara yang paling mengujakan bagi kebanyakan ibu-ibu. Ini kerana ia adalah masa untuk mencuba pelbagai resepi si manja. Waktu ini, ada juga ibu yang ragu-ragu untuk memberikan makanan kepada bayi. Ada yang seawal lima bulan telah pun memberikan makanan kepada bayi mereka. Ada yang menunda sehingga bayi berumur lapan bulan!. Mengapa ada perbezaan begini ya?. Sepanjang pembacaan saya, pemberian makanan kepada bayi bersifat subjektif. Tapi sungguh jarang, ibu yang perihatin terhadap makanan bayi mereka memberikan makanan bawah daripada empat bulan. Jadi enam bulan adalah masa yang sesuai.

Mengapa  enam bulan?
Apabila bayi berusia enam bulan, perkara pertama yang anda sedar adalah bayi anda mula menunjukkan minat terhadap makanan di pinggan anda, memerhatikannya dan mungkin akan cuba mencapainya. Mulutnya menunjukkan tanda-tanda mengunyah makanan dan air liur meleleh melihat makanan. Sungguh comel bukan?. Mungkin ini yang menyebabkan ibu-ibu pun tidak sabar memberikan mereka makan.

Pada usia ini, bayi pada juga sudah dapat menegakkan kepalanya sendiri dan akan hilang refleks merodok lidah (tongue thrust) yang bermakna dia sudah boleh belajar mengambil makanan selain susu ibu/susu formula sekarang.

Apabila makanan pelengkap diberikan terlalu awal kepada bayi pula ia boleh menyebabkan bayi anda kurang menyusu akibat rasa kekenyangan sedangkan nutrient yang benar-benar diperlukan oleh bayi berada di dalam susu. Yang paling penting, sistem penghadaman dan ginjal bayi masih belum matang untuk memproses makanan. Enzim penghadaman juga belum bersedia untuk memproses makanan selain daripada susu. Akibat daripada makanan yang tidak hadam dan nutrisi yang tidak mencukupi bayi berisiko untuk menghadapi sembelit, alahan, cirit-birit dan penyakit yang terserlah dalam jangka masa yang panjang seperti obesiti, darah tinggi dan diabetis. Pergi sahaja di hospital bahagian kanak-kanak, tidak mustahil anda berjumpa kanak-kanak mempunyai diabetis pada usia 10 tahun!. Sayangnya.

Bagaimana pula jika bayi diperkenalkan makanan pelengkap terlalu lewat?. Tumbesaran bayi akan terbantut akibat kekurangan nutrisi. Bayi juga mempunyai potensi mengalami masalah tabiat pemakanan semasa membesar. Mungkin anak menjadi cerewet untuk makan, tidak menyukai rasa sayuran atau hanya makan sejenis makanan sahaja.


Bagaimana pula dengan susu yang mengandungi semua nutrisi sehingga tidak perlu makan makanan lain?. Banyak sungguh susu dicipta dan diiklankan untuk memudahkan ibu-ibu. Bagi saya ia adalah perkara mengarut. Susu tetap susu, makanan tetap makanan. Sifat fizikalnya sahaja tidak sama.

Makanan pelengkap bukan sahaja berfungsi untuk membekalkan nutrisi, malah berupaya mengajar bayi tentang jenis-jenis makanan, struktur fizikal makanan dan rasa makanan. Walau bagaimanapun bukanlah bermaksud apa sahaja makanan boleh terus diberikan kepada bayi.

Ibu-ibu boleh bermula dengan mencampurkan satu sudu kecil bijiran dengan empat atau lima sudu kecil susu badan, susu formula, atau air masak sejuk. Anda boleh menggunakan sudu bayi tetapi sesetengah pakar menyarankan supaya anda menggunakan jari saja, tetapi pastikan ianya bersih. Cara yang mudah ialah mencuit sedikit campuran bijirin dengan hujung jari dan suakan kepada bayi. Jangan harapkan yang dia akan makan banyak pada satu-satu masa. Perut bayi yang kecil hanya dapat diisi sedikit sahaja, dan sebahagian besar nutrisinya akan terus datang daripada susu badan atau susu formula untuk beberapa bulan lagi. 

Makanan kepada bayi boleh diberikan kepada bayi secara berperingkan seperti jadual di bawah:-

Umur Bayi
Tekstur Makanan
6 – 8  bulan
Puri, dilecek atau makanan separuh pejal
9 – 11 bulan
Makanan yang dicincang atau dipotong kecil.
Makanan jejari (finger food)seperti biskut lembut dan buah-buahan juga boleh diberikan.
>12 bulan
Makanan keluarga
  
Antara hidangan yang boleh anda mulakan pada usia enam bulan termasuklah buah-buahan, seperti pisang, pir dan epal yang dipurikan; sayur-sayuran, seperti lobak merah, labu dan bunga kubis. Ibu-ibu juga boleh mencuba cuba sayur-sayuran berkanji seperti kentang dan keledek. Penting bagi anda memberikan bayi makanan berperisa masin disamping yang manis pada tahap ini supaya dia tidak hanya gemarkan makanan manis sahaja. Tetapi perlu diingatkan, tidak sepatutnya ibu-ibu menambah gula, sirap, garam, perasa, mentega, krim, sos perencah, lemak seperti mayonis, dalam makanan yang disediakan kepada bayi kerana, sistem penghadaman dan ginjal mereka masih belum bersedia untuk menapis bahan-bahan seperti itu. Penambahan madu juga dikatakan membawa kepada penyakit serius dipanggil ‘infant botulism’.

Usai memberi makanan, jangan pula lupa, susu patut diteruskan juga. Susu ibu, seeloknya diberikan sehingga anak berumur dua tahun. Selepas itu, amalan minum susu harus diteruskan sehinggalah tua. Anda boleh menunjukkan contoh dengan minum susu bersama-sama.

Selepas ini saya akan berkongsi berkenaan sukatan makanan yang boleh dijadikan panduan ibu-ibu. Jadi, teruskan membaca ya!.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
             http://www.babycenter.com.my/
             A Guide for Use in the Child Nutrition Programs; USFDA

No comments:

Post a Comment

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts