Tuesday, July 2, 2013

Nutrisi untuk Bayi 0-6 bulan

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google



Anak merupakan anugerah terindah. Sedari lahir kita berazam untuk memberikan yang terbaik untuk anak yang tersayang. Begitu juga dengan nutrisi untuk kesihatan anak ini. Yang terbaik antara yang terbaik. Justeru, apakah nutrisi yang terbaik untuk bayi yang baru lahir?.

Mudah. Hanya susu ibu dan susu ibu sahaja. Bukan dengan tambahan air masak, bukan susu formula, tambah teruk lagi susu ditambah dengan bijirin.

Sistem perkumuhan bayi bukanlah seperti kanak-kanak. Bayi adalah bayi. Sistem pemakanan dan perkumuhannya belum lengkap. Perutnya juga kecil, tidak besar. Jadi sesuai dengan perutnya yang kecil itu, cukuplah dengan susu ibu sahaja. Bagi bayi yang baru lahir, dia hanya perlukan sesudu besar susu ibu untuk merasa kenyang. Susu pertama yang dihasilkan ibu iaitu kolostrum sangat penting diberikan kepada bayi. Kolustrum ini berwarna kekuningan merupakan makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan. Antaranya
  • mengeluarkan mekonium (najis bayi pada awal kelahiran), 
  • mencegah penyakit kuning (jaundis), 
  • melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), 
  • mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), 
  • mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus, 
  • mencegah alahan, 
  • bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus. 
Jika bayi yang baru lahir diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, ia bukan sahaja satu kerugian, malah musibah kerana makanan itu mungkin boleh merosakkan usus dan menyebabkan alahan. Daripada mata kasar kita, bayi yang kita sayangi ini mungkin tidak menunjukkan sebarang simtom atau tanda mengalami kerosakan, tetapi perkara ini akan menunjukkan tanda apabila besar kelak. Tanda yang mungkin serius, mungkin jugak tidak.

Saya pernah mendengar pengalaman seorang rakan yang jauh jarak usianya dari saya lebih kurang 20 tahun. Beliau menceritakan berkenaan susu kolostrum ini. Pada zaman emak kita dahulu, susu kolostrum ini dipanggil susu basi atau susu masam. Tidak sepatutnya diberi kepada bayi baru lahir dan patut diperah keluar dan dibuang. Ruginya!. Ya. Rakan saya juga menyatakan kerugiannya. Beliau berkata beliaulah yang bertanggungjawab membuang kolostrum untuk adik-adiknya yang baru lahir ke luar rumah. Ke tanah!. Ruginya!. Beliau berkata lagi, jika pada masa itu, dia minum setiap kolostrum yang dia buang, sudah tentu dia jadi kuat macam Superman!. Lucu, tapi itulah kenyataannya kerana beliau mengaku sistem imunisasi beliau sangat rendah dan menghidap diabetis. Sayang seribu kali sayang. Beliau juga menambah, pada masa beliau bercerita, beliau minum susu tambahan yang sangat popular dan mengandungi kolostrum lembu dan mengakui bau susu kolostrum lembu itu, sama seperti kolostrum yang beliau buang dahulu.

Selepas kolostrum, susu ibu akan menjadi warna putih krim dan bergantung pula pada pemakanan ibu-ibu. Susu ibu dapat melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.
Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari.Selain itu, susu ibu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

Wah, banyak betul kebaikannya. Kerana itulah banyak usaha dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan juga pihak NGO untuk mempromosi kebaikan susu ibu ini terutamanya bagi wanita bekerjaya. Pendapat saya, kebaikan susu ibu ini tidak perlu diperkatakan kepada ibu-ibu suri rumah di kampung kerana ia merupakan sesuatu kelaziman untuk menyusukan bayi. Saya pernah menghadiri kenduri di kampung yang jauh ceruk dari bandar, dan melihat sekumpulan besar ibu-ibu menyusukan bayi secara berjemaah di dalam rumah sambil berbual-bual. Tersenyum saya melihat mereka. Daripada malu-malu hendak menyusukan anak, jadi seronok pula. Sambil menyusu sambil berukhwah bertukar cerita. Tapi bukan cerita menyusu kerana ia sesuatu yang biasa saja.

Ada satu amalan yang sering diambil mudah oleh ramai ibu bapa, iaitu pemberian air masak, atau lebih tepat air kosong. Air kosong adalah air tanpa khasiat untuk bayi kecuali untuk menambah bendalir dalam badan. Dan sesungguhnya susu ibu telah mengandungi 81% bendalir yang diperlukan oleh bayi. Sudah cukup!.

Mengapa air kosong tidak bagus untuk bayi:-

Merencatkan Akal:- Akibat peningkatan bilirubin dan memburukkan penyakir jaundis sehingga boleh merencatkan akal. (Pakar Laktasi dari Kanada, Anne Kirkham). Bayi juga akan menjadi bertambah mengantuk dan lesu tidak bermaya.

Mengancam Nyawa Melalui Pencemaran:- Siapa yang dapat membuat jaminan dan membuat analisa biokimia setiap kali ingin memberi bayi minum?. Peratusan pencemaran melalui air sangat tinggi. Ingatlah.

Mengakibatkan Sawan Tarik :- Terlalui banyak air mencairkan garam dalam darah bayi dan menyebabkan gejala kembung dan sawan tarik. Suhu badan bayi juga menurun dan rendah dari sepatutnya.

Menghakis:- Air kosong bersifat menghakis kebaikan susu ibu dan menyebabkan bayi terdedah kepada jangkitan.

Jadi kesimpulannya sudah tahu bukan. Untuk bayi kurang dari enam bulan, nutrisi terbaik adalah susu ibu dan susu ibu sahaja. Bagaimana menambah baik kesihatan bayi kesayangan anda. Ibulah yang harus makan nutrisi yang baik-baik dan berkhasiat. Gunakan makanan tambahan untuk menambah baik kualiti nutrisi susu anda. Sekarang sudah banyak dipasaran. Pilih sahaja. Tidak perlu proses sendiri. Senang bukan!.

Salam kesihatan dari saya!.

No comments:

Post a Comment

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts