Thursday, June 27, 2013

Nutrisi untuk Warga Emas

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google


Penuaan adalah perkara semulajadi bagi manusia. Ada yang takut untuk menjadi tua. Mengapa?. Mungkin kerana kemerosotan dari segi kecantikan, kekuatan kudrat, dan yang kritikal adalah kesihatan. Walhal perkara ini sebenarnya adalah kesan daripada pola hidup sepanjang umur yang lalu. Setiap insan mempunyai pilihan untuk kekal cantik, sihat dan bertenaga. Sebenarnya penuaan berlaku sejak kita dilahirkan. Ada yang nampak tua walau pun umur baru 40 tahun, ada pula yang masih aktif lagi walaupun sudah berumur 80 tahun. Kita hanya sedar kita sudah tua bila merasakan otot mengendur, muka berkedut atau pun ada orang sudah tukar panggilan kita daripada 'kakak' kepada 'nenek'.  Jadi bacaan ini sesuai untuk warga emas sendiri, individu yang menjaga warga emas dan juga diri sendiri yang bakal menjadi warga emas.

Secara umumnya, warga emas dikategorikan bagi individu berumur 60 tahun ke atas. Pada waktu sebegini, iaitu pada umur mencapai warga emas, pengetahuan berkenaan status kesihatan, tahap aktivitinya dan kadar pemakanan memainkan peranan yang penting untuk menghubungkan makanan yang patut dihidangkan dengan nutrisi keperluan individu warga emas ini. Pengambilan makanan warga emas dipengaruhi oleh perubahan-perubahan yang berlaku pada usia tua seperti:
  • Kekurangan deria rasa dan bau 
  • Kurang daya ingatan
  • Kehilangan gigi 
  • Kurang kepadatan tulang dan kurang ketahanan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti membeli-belah atau bersiar-siar
  • Kurang keupayaan menghadam dan menyerap makanan 
  • Kurang kekuatan jantung dan paru-paru 
  • Kurang kandungan air dalam badan.
Berdasarkan kebolehan dan kekurangan di atas, sesuaikanlah hidangan makanan dengan warga emas ini. Jangan pula yang tiada gigi, disuakan pula makan kacang tanah yang keras atau buah epal ya. Bagi buah-buahan yang keras, hancurkan menjadi jus atau potong dalam bentuk yang lebih kecil. 

Kadangkala ada yang tidak lalu atau kurang selera makan. Masalah ini boleh diatasi dengan cara pujukan, makan sambil bersiar-siar dan juga makan beramai-ramai. Lupa untuk makan juga satu masalah. Kadang-kadang terlebih makan, kadang-kadang langsung tidak makan. Jadi, apa caranya? Yang muda lah kena memantau. 

Perkara yang paling penting adalah memastikan warga emas ini cukup minum air. Sekurang-kurang 8 gelas sehari. Ini adalah untuk memastikan sistem penghadaman berjalan dengan baik, membuang toksin dari badan dan mengelakkan dehidrasi. Kekurangan air menyebabkan penyakit yang dihidapi warga emas bertambah buruk. Pemeberian makanan bersup dan jus buah-buahan juga sangat digalakkan.

Contoh sajian sehari untuk warga tua 

Warga emas umumnya memerlukan antara 1800-2000 kkal sehari. Di bawah ini adalah contoh menu seharian untuk warga emas. 

Sarapan : 
Secawan bubur nasi, sesudu makan bilis tumbuk dan setengah cawan minuman bersusu
Minum pagi :
Sekeping roti mil penuh, sesudu teh jem, sebiji pisang, secawan minuman bersusu
Makan tengah hari:
Secawan nasi, seketul ayam masak kari, setengah cawan sayur bayam, sebiji limau nipis, air kosong
Minum petang :
Sepotong kuih, sebiji pisang, secawan teh O
Makan malam : 
Secawan nasi, sekeping ikan tenggiri masak asam pedas, secawan sup sawi campur tauhu, sepotong betik, air kosong
Minum malam :
Tiga keping biskut krim kraker, secawan minuman bersusu.

Sudah tentu setiap hari menu ini perlu divariasikan untuk mengelakkan rasa jemu dan menjadikan hidangan lebih menarik. Pemilihan makanan pula seperti biasa, mengikuti piramid makanan.

Makanan tambahan atau supplemen juga boleh digunakan untuk warga emas. Tetapi pastikan individu ini mendapatkan nasihat dari pakar perubatan kerana kemungkinan ubat yang diambil untuk penyakit tertentu berlawanan dengan makanan tambahan yang dimakan. Yang lebih parah, ada yang meninggalkan ubat dan makan supplemen sahaja!.
Kesimpulannya, bagi warga emas ini, nutrisi yang diperlukan hampir sama seperti individu dewasa. Cuma perlukan PEMANTAUAN dan bersesuaian jika menghidapi penyakit.

No comments:

Post a Comment

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts