Saturday, June 15, 2013

Catatan 7: Cuti Riang Ria dan Bekal

Teks : Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Carian google.

Cuti sekolah sudah lama berakhir. Tapi percutian kami sekeluarga masih lagi terngiang-ngiang. Walau pun tempatnya dekat sahaja dan tidak mengambil masa berhari-hari, tapi percutian itu masih lagi membuahkan hasil yang saya mahu untuk anak-beranak kami. Maklumlah, ini kali pertama saya bawa anak-anak saya bercuti sempena meraikan cuti sekolah. Anak-anak pun sudah mula faham maksud bercuti sekolah.

Percutian kami dekat sahaja. Di i-City Shah Alam. Mungkin ada yang gelakkan saya. Dekat sungguh Sepang ke Shah Alam. Tapi sungguh, kami sekeluarga tak pernah ke i-City (malu). Tapi memang hajat saya mahu bawa anak-anak bermain di taman tema, jadi, saya membuat kajian di internet tempat-tempat yang sesuai dengan kesesuaian masa, bajet dan kemudahan perjalanan untuk keluarga yang ada anak kecil umur 5 tahun dan 3 tahun. Mulanya saya cadangkan ingin ke Mines Wonderland, sumpah tidak tahu rupanya ia dah ditutup lama dulu. Jadi keputusannya ke i-City. Mujur saya buat juga pembacaan tentangnya. Boleh buat persediaan.

Awal pagi saya sudah pun bangun untuk menyiapkan bekalan. Saya fikir tentu susah untuk membeli di kawasan yang ramai orang. Jadi saya bawa makaroni goreng dan sardine roll. Yang penting air kosong. Semua bekalan dan barang anak-anak (susu, pampers,baju tambahan) saya muatkan dalam satu beg sandang. Mengikut pembacaan, di sana ada Snow Walk. Kalau mahu masuk, elok jika bawa stokin, pakai kasut, baju sejuk. Jadi saya muatkan semuanya dalam beg sandang kedua. Dua beg sandang, satu saya pikul, satu lagi untuk suami. Mudah daripada membawa bakul. Kadang-kadang bila berjalan, saya bawa bakul untuk meletakkan bekalan. Kali ini bawa beg saja lebih mudah.

Tiba di sana, sudah pun tengah hari. Alhamdulillah orang tidaklah seramai yang saya sangka. Mungkin waktu itu pertengahan minggu. Jadi kami beriang-ria tanpa perlu bersesak-sesak. Di sana ada pelbagai tempat yang berpisah-pisah, bukan di bawah satu bumbung yang sama. Setiap satu kemasukan perlu ada tiket. Mengikut keseuaian masa dan anak-anak, kami memilih Snow Walk, iKids World, Ferris Wheel dan Car Ride sahaja. Tapi itu pun sehingga ke maghrib!. Banyak masa yang dihabiskan di iKids World. IKids World merupakan in-door playground untuk kanak-kanak. Lebih santai untuk ibu bapa. Boleh duduk-duduk, makan, dan bersosial. Ada yang siap tidur di situ. Mujur saya bawa bekal. Memang seronoklah anak-anak. Sambil bersosial, sambil makan, sambil main.

Sebenarnya, saya memang suka konsep berjalan dan membawa bekal. Memandangkan anak-anak saya jenis suka makan, jadi konsep ini memang berbaloi. Anak-anak pun mudah di bawa ke sana sini tanpa membuatkan mereka meradang kerana kelaparan. Walau pun hanyalah biskut, sekurang-kurangnya dapat mengalas perut yang kelaparan. Siapalah tahu apa yang akan berlaku sepanjang perjalanan. Bekal dapat menyelamatkan keadaan. Tapi jarang pula saya masak bekalan berat, nasi dan lauk pauk yang banyak, kecuali waktu-waktu tertentu seperti untuk berbuka puasa.

Gambar hiasan. Tiada kena mengena dengan bisnes saya.


Saya mewarisi konsep ini daripada emak saya. Ia perkara biasa untuk emak saya membawa bekal. Jarang sungguh kami berjalan-jalan dan singgah makan dikedai. Kami singgah di R&R, di Masjid dan kadangkala di kebun kelapa sawit. Indah sungguh memori itu. Jika kami berjalan satu Malaysia pun, emak saya akan bawa dapur gas kecil, bawang, garam, kuali. (<_____>). Percaya tak?. Kami memasak di Chalet atau khemah. Macam pengakap!. Semua ahli akan ada tugas masing-masing. Masak sama-sama. Bila waktu makan, masing-masing rasa seronok. Penat? Renyah? Tak terasa pun.

Masa itu, saya kurang faham dan tak pernah bertanya kenapa. Sekarang, saya tahu banyak kelebihan bawa bekal.
[1] Jimat!
[2] Cepat
[3] Tidak perlu bersesak-sesak
[4] Tidak perlu risau mahu makan di mana?
[5] Makanan sihat. Sudah tentu dari dapur sendiri, tangan sendiri yang memasak, tahu asal-usul makanan, boleh  tahu apa yang sesuai untuk keperluan nutrisi ahli keluarga. Minyak yang digunakan pun bukanlah digunasemula 30 kali!.

Banyak lagi kelebihannya. Yang penting, KERAJINAN!. Anda setuju? Cuba lah.
Antara perkara penting masa bawa bekalan,
-Jangan lupa bawa sudu/garpu. Lagi bagus jika letakkan satu di dalam kereta. Kalau emak saya, ada sahaja 1 sudu di beg tangannya.:). Lucu tapi berguna.
-Bawa tisu basah berbanding tisu biasa. Sangaat berguna.
-Gunakan bekas yang boleh digunakan sebagai pinggan.
-Sentiasa sediakan beg plastik. Banyak faedahnya.

Itu sahaja yang dapat difikirkan. Anda mungkin ada tips yang lain. Jom kongsikan dengan saya.

No comments:

Post a Comment

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts