Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google
Melayari internet, dan masuk ke laman sesawang yang telah lama bertapak, saya sering terganggu dengan iklan-iklan terutamanya yang bergerak-gerak. Kadangkala ia lebih menarik perhatian saya walaupun sebenarnya hajat utama hendak membaca artikel lain di laman web itu. Dengan sebab itu juga, di satu laman sesawang kesihatan, saya terpandangkan satu botol air yang penuh dengan potongan buah-buahan. Dek rupa dan warnanya yang cantik, saya jadi tertarik. Namanya infused water.

Infused water adalah salah satu cara untuk membantu mereka yang sukar minum air kosong kerana rasanya yang payau dan kosong... kosong... . Dengan sedikit perasa dari buah-buahan segar ini, minum air kosong lebih menyeronokkan. Merendam potongan buah-buahan ini adalah salah satu cara untuk mendapatkan bahan penting dalam buah-buahan. Dalam sains makanan, terdapat beberapa cara untuk membuat ekstraksi bahan utama dari sumber asal. Contohnya dari daun teh, atau tongkat ali, atau vanilla. Cara yang paling mudah adalah seperti kaedah merendam, merebus, memanas hinggalah kepada cara yang paling sofistikated iaitu menggunakan instrumen pengekstrakan di makmal. Bahan cecair atau dipanggil pelarut yang sering digunakan adalah alkohol kerana sifat kimianya yang bersesuaian. Jadi, di sinilah banyak keraguan terhasil dalam makanan. Nampak macam tiada alkohol, tetapi pernah menggunakan alkohol dalam pemprosesannya. Tapi, jangan risau, sebenarnya terdapat garis panduan berkenaan paras kandungan alkohol dalam makanan yang ditetapkan oleh fatwa. Bagi perubatan cina, ada salah satu kaedah iaitu tincture. Melarutkan herba menggunakan alkohol sejuk. Tapi seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, sesungguhnya minuman yang memabukkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat. Ada banyak lagi cara untuk memperoleh perkara yang baik daripada flora ciptaan Allah. Contohnya cara penyediaan infused water ini.
Berbalik kepada infused water tadi. Ia hanya menggunakan kuasa air dan rendaman untuk menghasilkannya.
Caranya mudah,
1. Buat potongan buah-buahan pilihan anda.
2. Rendam di dalam air kosong selama setengah hingga sejam. Boleh saja masukkan di dalam perti sejuk untuk menyejukkannya. Ia tahan sehingga seminggu atau sehingga rasanya hilang.
3. Siap. Sedia untuk diminum. Tak perlu gula dan perasa tambahan lain. SEGAR!.
Tapi, untuk mendapatkan manfaat kesihatan, terdapat gabungan buah-buahan yang dicadangkan. Cadangan gabungan buah-buahan adalah seperti berikut:-
1. Strawberi dan kiwi
Untuk kesihatan kardiovaskular, menguatkan sistem kekebalan, menurunkan gula darah, dan melancarkan pencernaan.
2. Teh hijau + daun pudina + limau nipis
Sesuai untuk pembakaran lemak, meningkatkan metabolisma, melancarkan pencernaan, mengurangkan sakit kepala, mengatasi susah buang air besar, dan menjaga kesihatan pernafasan.
3. Timun + limau nipis + lemon
Bermanfaat untuk mengatasi kembung perut , mengawal nafsu makan, mengatasi dehidrasi, dan menjaga kesihatan pencernaan.
4. Lemon+limau nipis
Manfaatnya sebagai sumber vitamin C dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh.
Itu adalah yang dicadangkan. Saya mahu tambah lagi. Ia sebenarnya petua dari emak saya. Hebat pula emak saya kan. Tapi, tak pula dipanggil infused water. Cakapnya, air rendaman. He,he, he. Anda sudah dapat ingat?. Sebenarnya orang tua kita pun bijak juga. Memang sudah ada buat infused water ini. Cuma bunyinya saja kurang canggih.
Pesan mak saya, kalau sakit kepala, rendam asam keping dalam air. Biar semalaman kemudian di minum. Jika demam, rendam daun sirih atau daun ati-ati atau pun asam jawa. Jerlumkan kepala dan badan. Untuk buang angin pula, rendam dan rebuskan air dengan halia. Minum panas-panas. Ha, itu pun sebenarnya adalah infused water tadi. Cuba mak, nenek kita panggil infused water dari zaman dulu, mesti popular kan?.
HUBUNGI PENULIS
nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432
FB: Wani Mn
No comments:
Post a Comment