Friday, November 8, 2013

Tentang garam masakan.

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google

Kurang garam salah, terlebih garam salah juga. Semuanya jadi serba salah. Ini salah satu dilema saya semasa tinggal bersama mertua. Emak saya seorang yang dikatakan orang kurang masin. Baca betul-betul. Bukan kurang asam ya. Disebabkan emak saya begitu, lidah kami sekeluarga mengikut sama. Masakan kami sering dikatakan tawar, sedangkan bagi kami elok saja, Bila sudah berkahwin dan kebetulan ibu mertua saya berpindah masuk ke rumah kerana pertukaran pejabat, masakan jadi gundah gulana. Bila saya masak, mertua saya tidak lalu makan kerana tawar. Bila mertua masak, saya terkejut kemasinan. Macam-macam hal. Tapi saya rasa, perkara ini boleh ditoleransi. Lama kelamaan, masakan kami jadi sama rasa tahap kemasinannya kerana lidah kita sebenarnya boleh dididik.

Apa sajalah tentang garam dan masin.  Entri yang lepas, saya ada menceritakan tentang kandungan gula dalam minuman. Kali ini, saya bawakan perihal garam masakan. Apa had garam yang boleh kita makan dalam sehari?. World Health Organization (WHO) menyarankan penggunaan garam sehari adalah sebanyak satu sudu atau 5 gram sahaja atau 2000 mg natrium. Sikitnya!.

"Dalam gulai letak satu sudu teh, dalam sayur setengah sudu. Eh, banyaknya saya guna garam!.".
Itu yang saya fikir masa mula-mula baca tentang jumlah had pengambilan garam sehari. Tapi bila fikir semula, tidak pula kita makan seperiuk gulai bukan?. Hanya beberapa sudu sahaja. Jadi, jumlah garam yang terlarut kita ambil, tiadalah sampai satu sudu teh. Macam silap mata pula kan. Mahu tahu agaknya berapa jumlah garam terlarut dalam gulai tadi?. Kita bukan belajar larutan kimia di sini. Lupakan saja.

Ok. Apa sumber makanan yang boleh menambahkan jumlah pengambilan garam harian kita selain gulai dan lauk sayur tadi?. Antaranya ialah:-
1) Kicap.
2) Jeruk
3) Kiub ayam
4) Cencalok
5) Budu
6) Ikan pekasam
7) Sos
8) Belacan.

Jika mahu senaraikan, banyak juga lagi. Ini antara makanan yang saya selalu kurang sedar, ada banyak kandungan garam. Satu lagi adalah makanan dalam tin seperti sardin. Bila masak sardin, ada jenama sardin yang saya tidak perlu tambah garam lagi. Apa jenamanya?. Anda boleh rasa semasa memasak. Bukankah lidah kita berlainan citarasa?.

Pakar pemakanan Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Nor Lizawati Che' Lah berkata sebenarnya dalam makanan terproses selalunya mengandungi 75% garam tersembunyi. Sos cili, kicap pekat, kicap cair, cencalok dan seumpamanya dikatakan mempunyai 480 mg natrium. 

Bersambung lagi entri garam ini ya.



No comments:

Post a Comment

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts