Tuesday, December 31, 2013

"Tanpa mentor umpama melalui lorong gelap" - Suharni Darwing.

Guru Online : Normi Mat Yusof (http://normiyusof.blogspot.com/)
Nama Protege : Suharni Dawing
Blog : http://suharnidawing.blogspot.com/
page : https://www.facebook.com/SuehoneyCollections


Teks: Suharni Darwing




Assalamualaikum
Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah akhirnya berjaya juga melengkapkan tugasan 44 enteri yang diberikan oleh mentor saya walaupun memakan masa yang agak lama untuk menyiapkannya. Sebenarnya untuk menyiapkan tugasan ini bergantung kepada individu itu sendiri kerana ianya memerlukan momentum dan komitmen yang tinggi dan ada protege yang hanya memerlukan masa hanya seminggu sahaja, tidak mustahil kan jika kita bersungguh-sungguh. Terima kasih kepada mentor saya Puan Normi Hj Mat Yusof kerana banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar, beliau begitu sabar melayan dan menjawab setiap soalan yang diutarakan oleh protege-protege beliau. Sejujurnya saya memang tidak tahu menahu selok-belok dunia "berblogging" ini, hanya tahu "search" maklumat dan baca blog-blog orang lain sahaja dan kini saya mampu memiliki blog dan fanpage sendiri. Beliau sentiasa ada untuk membantu dan menunjukkan langkah demi langkah serta tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

Setelah memiliki blog dan fanpage sendiri, alhamdulillah saya mampu menjana sedikit pendapatan walaupun tidak lah sebanyak mana, namun saya tetap bersyukur. Menjadi agen dropship adalah salah satu permulaan perniagaan bagi mereka yang tidak mempunyai modal kerana hanya perlu mempromosikan produk dan dapat untung melalui komisyen. Segala urusan penghantaran, penyimpanan stok, dan bekalan produk dilakukan oleh pembekal, namun ejen dropship haruslah mencari pembekal yang tepat dan mudah untuk dihubungi bagi memudahkan urusan diantara ejen dan pembekal. Dengan menyertai kelas online asas blog dan fanpage ini mereka juga ada menawarkan produk kepada protege yang ingin memulakan perniagaan, Terima kasih kepada mentor saya kerana memperkenalkan saya kepada pembekal pakaian muslimah yang mudah untuk dihubungi dan berurusan dengan beliau.

Tanpa mentor yang betul ibarat melalui sebuah lorong yang gelap, tanpa diberitahu apa-apa tentang lorong itu dan tidak ada lampu suluh, tidak ada lilin serta peralatan untuk mempertahankan diri. Jika kita dibimbing oleh seorang mentor, dia ibarat penunjuk jalan kerana mereka sudah mengharungi lorong yang gelap itu dan tahu akan selok-belok lorong tersebut. Sudah tentu kita akan rasa lebih selamat dan yakin jika mentor ada untuk menemani kita melalui lorong yang gelap itu. Dengan adanya mentor, InsyaAllah perjalanan dalam dunia perniagaan akan menjadi mudah dan lebih lancar,mereka juga sering kali berkongsi network dan sentiasa membantu antara satu sama lain.

Saya berasa sangat bertuah kerana terpilih dan terpanggil untuk menyertai kelas asas blog dan fanpage ini kerana bukan sahaja saya dapat mengutip ilmu tetapi dapat menikmati kelebihan-kelebihan dalam kelas ini serta dapat menjalinkan ukuwah bersama ahli-ahli dalam akademi berkerja dari rumah ini. Jika anda ingin merasai kelebihan-kelebihan dalam akademi ini apa tunggu lagi jom daftar sekarang pasti anda berpuas hati kerana banyak pakej-pakej yang ditawarkan dalam akademi ini.

Alahan Gluten

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

"Kita adalah apa yang kita makan"

Betul ke betul?. Nampaknya penggunaan kata tanya sebegitu telah menjadi viral. Untuk lebih positif saya juga mahu guna pendekatan yang sama.

Ok. Apa yang menyebabkan kita adalah apa yang kita makan?. Saya kira semua akan terfikir gambar orang obesiti. Setidak-tidaknya saya yang dapat gambaran sebegitu. Itu dulu. Sekarang saya ada perspektif pemahaman yang lain.

Kita dalam ayat tadi sebenarnya semua. Termasuklah bayi. Tidak terkecuali. Kadang-kadang kita ada lihat individu yang alahan. Menurut kajian, alahan yang kita ada sekarang wujud dari pemakanan kita semasa kecil. Terutamanya bagi bayi yang telah makan makanan pejal seawal usia baru lahir. Wallahualam.

Terdapat pelbagai jenis alahan. Saya mahu bincangkan alahan gluten kerana ia berkait dengan cerita sebelum ini. Tentang anak saya yang pertama. Doktor pernah menyangka dia adalah individu yang alah pada gluten. Namun, berdasarkan soal jawab, alhamdulillah kemungkinan itu jauh. Dan sekarang anak saya sihat wal'afiat.

Gluten ialah protein yang terkandung dalam 4 jenis makanan utama iaitu gandum, rye, oat, dan barli serta bahan daripadanya seperti kuskus, muesli, bijirin sarapan dan lain-lain. Kata kuncinya, baca label makanan pada pembungkus.

Alahan kepada gluten sama seperti menghidap penyakit 'celiac'. Bezanya adalah satu merupakan alahan dan satu lagi adalah penyakit genetik. Kaedah rawatannya juga berlainan.

Jika individu itu dirasakan menghadapi simptom alahan gluten, ia terlebih dahulu akan menjalani ujikaji penyakit celiac terlebih dahulu. Kerana, jika pesakit terus mengamalkan diet bebas gluten, ia menyebabkan penyakitnya bertambah buruk.

Alahan kepada gluten boleh dilihat seawal bayi lagi. Ada juga kes bayi yang menyusu badan yang mempunyai alahan kepada gluten disebabkan pemakanan ibunya. Untuk panduan bersama, apakah tanda-tanda alahan gluten kepada bayi kita yang harus kita perhatikan.

Tanda-tanda alahan gluten:

  • pertumbuhan terbantut
  • anak menunjukkan rasa tidak selesa, menangis tanpa sebab, tidak tidur lena ikut jadual
  • cirit-birit
  • perut sering kembung
  • muntah memancut (projectile vommit)
  • sembelit
  • masalah respiratori seperti selsema, hidung berair dan telinga terganggu
Perhatikan masalah-masalah berkenaan dan tanya doktor anda. Langkah awal amat membantu, terutamanya jika hanya bukanlah alahan tetapi ia penyakit genetik yang harus ditangani sebaik mungkin.

Wallahualam.

Salam nutrisi dari bijak nutrisi.


Hubungi penulis
nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432

Monday, December 30, 2013

Lawatan ke i-City

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Hari Khamis yang lepas saya sekeluarga ke i-City. Tiket telah ditempah awal melalui rakan adik saya dengan harga promosi. Promosi melalui tempat kerja, murah sikit berbanding yang dibeli terus di i-City. Dua tiket dewasa dan dua tiket kanak-kanak untuk 3D Art Museum dan Red Carpet (Wax museum) berharga RM130.

Jika dibeli terus di i-City, harga pakej untuk Red Carpet adalah RM 120 untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak. Manakala untuk 3D Art Museum adalah RM10 seorang. Promosinya terhad cuti sekolah hujung tahun kata pekerja di situ.

Setiap tempat ada waktu operasi tersendiri seperti berikut:-

a) Waterworld - 11.00 am to 7.00 pm (Weekend start at 10.00 am)
b) Funworld - 2.00 pm to 1.00 am (Weekend start at 11.00 am)
c) Snowalk - 10am to 1am daily
d) ThemePark A&B – 6pm to 1am daily


Untuk makluman, i-City adalah taman tema hiburan ala-ala Genting Highland. Setiap kawasan ada tiket sendiri yang perlu dibeli. Contoh seperti apa yang saya lawati 3D Art Museum satu tiket, Red Carpet satu lagi tiket, Horror tiket lain, Water Park tiket lagi, Snow Walk tiket lain pula, Kids World bayar lain.

Ok. Nampak macam sakit membayar bagai-bagai kan?. Jujurnya memang ya. Tapi saya sudah dua kali ke sana dalam tak suka itu. Kali pertama saya ke Snow Walk, kemudian terus ke 3D Art Museum. Masuk pula ke Kids World dan rehat-rehat di situ hingga Theme Park beroperasi jam 6 petang.

Sebelum pergi ke i-City kali pertama, mujur saya google dahulu. Anda mungkin pernah membaca kisah seorang pelawat yang menyatakan rasa tidak puas hatinya tentang i-City. Jadi saya mengambil iktibar daripada entri berkenaan sebelum ke sana.

Antara persediaan saya:

1) Sediakan duit yang cukup
2) Rancang permainan atau lawatan yang mahu
3) Ukur tinggi anak siap-siap. Ada permainan yang tidak dibenarkan untuk ukuran tinggi tertentu
4) Sebelum beli kad/tambah nilai, ketahui syarat permainan terutamanya had tinggi minima
5) Jika mahu ke snow walk, pastikan bawa stokin sendiri, pakai kasut sebaiknya kasut sukan, bawa sarung tangan (dalam kes saya, saya bawa stokin lebih dan sarung saja di tangan anak yang tidak tahan sejuk), bawa baju sejuk lebih walau pun ada baju sejuk diberikan percuma, bawa topi atau penutup kepala/telinga. Yang penting, jangan sangka berlebihan dengan menganggap saljinya seperti salji semulajadi.
6) Bawa bekal makanan (saya memang suka bawa bekal). Satu sebab makanan mahal, dan juga sebab ia tidak sesedap mana pun. Tidak berbaloi dengan harganya. Saya selalu makan dan rehat di kerusi yang disediakan dihadapan Snow Walk.
7) Bawa telekung. Saya pernah saja solat di Kids World kerana ia kawasan larangan kasut.
8) Bawa kamera, berbanding ambil gambar guna telefon. Anda pasti mahu rakam gambar yang banyak. Takut-takut bateri tidak mencukupi.





Itu antara tips yang dapat saya berikan.

Seronokkah melawat ke i-City?

Bagi saya, ke mana saja, asal bersama anak-anak, ia cukup indah. Ragam memang bermacam ragam.
Anak-anak saya bawah umur 5 tahun. Mereka sukakan warna-warni. Dua muzium ini penuh warna-warni dan ceria. Bila sudah dimuat naik ke dalam komputer, mereka suka betul lihat gambar-gambar mereka dengan latar belakang yang menarik.

Anak suka, mama pun sukalah.

Sampai di sini dari bijak nutrisi.

Mahukah anda mendaftar KELAS URUS AKAUN BISNES KECIL/WAHM?.
Akademi Bekerja Di Rumah membuka kelas akaun percuma, terhad 10 slot pada 6.1.2013.
Jika anda berminat, hubungi saya,

nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432
https://www.facebook.com/zahwanimn





Thursday, December 26, 2013

Perihal alahan.

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Anda ada alahan?.
Anda alah kepada apa?.

Semakin saya membesar atau lebih tepat menjadi lebih matang dan berinteraksi dengan lebih ramai orang, atau orang tua-tua kata semakin banyak makan garam, saya berjumpa dengan lebih banyak jenis alahan.

Dahulu, masa kecil, saya hanya dikelilingi orang yang alah kepada makanan laut. Bila makan jadi gatal, tumbuh jerawat dan sebagainya. Kemudian baru saya tahu ada yang tidak tahan laktosa, boleh jadi cirit-birit.

Bila jumpa lebih ramai orang, ada yang tidak tahan cendawan, muka jadi mulut macam di bedah seseksi Angelina Jolie. Ada yang tak tahan kekacang termasuk minyak bijan, boleh sesak nafas sehingga mengundang maut jika tidak dirawat. Seriusnya. Sungguh!.

Bila sudah mempunyai anak, bertambah pengetahuan saya. Anak saya yang kedua lebih banyak alahan berbanding pertama. Anak saya alah kepada antibiotik augementin. Nak dijadikan cerita, anak saya demam berlarutan melebihi tiga hari dan suhu terlalu tinggi. Bawa ke hospital dan diberi antibiotik.


Diri sendiri menjadi panik bila badan anak jadi merah, muka dan tangan membengkak. Terus ke bahagian Kecemasan Hospital dan disahkan alah augmentin. Penawar diberi, alahan pun reda. Nasihat doktor, ingat tentang ini sentiasa supaya tidak silap di lain hari.

Masuk umur setahun lebih, anak saya yang kedua ini mula menunjukkan alahan gatal-gatal dan kudis badan. Nampak macam eczema. Puas dirujuk ke pakar kulit, masalah reda sedikit saja. Gatal-gatal masih ada. Puas sukat makanan sampai jadi keliru. Akhirnya gatal-gatal badannya hilang sendiri bila usia menginjak dua tahun. Alhamdulillah.

Anak saya yang pertama, kurang sikit masalah alahan.  Namun, pernah juga dirujuk ke pakar kanak-kanak akibat masalah sembelit. Dari susu ibu, doktor nasihat minum susu formula yang diformulasi khas untuk anak sembelit. Dari satu susu ke satu susu. Sedih juga masa kejahilan tentang susu. Ikutkan saja kata orang.

Kali pertama dirujuk ke hospital, anak saya yang pertama masih dalam pantang. Siap dapat sudah tarikh temujanji untuk buat satu prosedur yang berkait dengan radioaktif. Saya lupa namanya. Konsepnya seperti X-Ray tapi menggunakan bahan radioaktif sebagai bahan pengesan. Wallahualam sungguh saya tidak dapat ingat. Yang pasti untuk mengetahui kenapa anak saya susah membuang najis walhal najis ada di usus besar. Kata doktor, jika dibiar, bahaya untuk anak. Logiklah, saya boleh terima itu.

Perasaan gundah masa itu, Allah saja yang tahu. Daripada tak tahu enema itu apa, sampai saya jadi anti enema hingga sekarang. Mahu pula di buat prosedur dengan radioaktif?. Anak saya kecil lagi. Nampak dari luar sihat dan normal.

Fikir punya fikir, kami suami isteri cuba dapatkan pandangan pihak ketiga. Kami rujuk ke Hospital Serdang. Alhamdulillah, berjumpa doktor pakar yang lebih sesuai. Lama juga kami di temuduga. Banyak berkisar tentang saya dan suami untuk mengetahui sama ada kami mempunyai masalah genetik sembelit.

Malu dan kelakar juga bercerita tentang itu. Rupa-rupanya semua memainkan peranan. Mungkin apa yang terjadi pada anak saya disebabkan genetik dan kurang nutrisi. Doktor sarankan kami betulkan kaedah memberi susu formula. Susu ibu berikan juga.

Doktor katakan mungkin anak saya mempunyai masalah saraf usus besar yang menyebabkan kemutan dan gesaan untuk membuang najis tidak menjadi. Mungkin juga sebab alahan, atau mungkin tiada masalah apa-apa. Ia dinamakan 'functional constipation'.

Masuk enam bulan disarankan pula berikan jus perahan limau. Perah sendiri bukan yang beli. Kemudian perkenalkan yakult pula. Ya, yakult bukan jenama lain. Alhamdulillah, bila sudah besar, masalah pun kurang.


Berbalik kepada cerita alahan, apa kaitan anak saya yang pertama ini dengan alahan, sedangkan masalahnya adalah sembelit?.

Kita sambung cerita ini nanti ya. Terima kasih kerana membaca.
Salam dari bijak nutrisi.

Mahu dapatkan pake ebook ini?.

Hubungi penulis
nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432

Wednesday, December 25, 2013

Kawal Leptin, bantu wanita kurus (bah. 2)

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Sebelum ini, saya ada  membicarakan tentang Leptin yang mengawal tindakbalas  badan untuk berhenti makan atau "cari makanan lagi'. Hari ini, kita sambung lagi.

Saintis telah menemui salah satu sebab wanita tidak dapat bertindak balas terhadap perancangan diet dan senaman yang diberikan kepada kaum Adam salah satunya disebabkan oleh hormon Leptin ini. Wanita, walau pun mempunyai dua kali ganda Leptin, malangnya kadar rintangan Leptin pula tiga kali ganda lebih hebat berbanding Lelaki.

Justeru, pengawalan Leptin merupakan satu senjata yang digunakan untuk membantu wanita menjadi kurus. Apa yang boleh dilakukan untuk menghalang rintangan terhadap Leptin, sekaligus menghalang Leptin merendahkan kadar metabolisme?.

Antara perkara yang dicadangkan adalah:

Kawal mental dan emosi anda
Konsepnya sama seperti melakukan ibadah. Mula-mula paksaan, seterusnya kebiasaan dan menjadi amalan. Saya yakin, ibadah puasa merupakan kaedah yang Allah kurniakan kepada manusia. Tidak ada ciptaan-Nya yang sia-sia.

Dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi
Tidur dan rehat yang mencukupi bukan bermaksud tidur sepanjang masa. Ikut masa yang sesuai. tidur awal, seawal jam 10. Bangkit semula seawal sepertiga malam dan dapatkan sunat tidur sebentar sebelum Zohor. Jika konsisten amalan ini saya kira, rehatnya mencukupi.

Pernah atau tidak anda rasa lapar bila 'stay-up' belajar untuk peperiksaan?. Anda sudah tahu sebabnya sekarang. Leptin menjadi-jadi.

Diet dan pemakanan.
Pakar telah menggariskan sejenis diet Leptin. Jika ikut secara rigid, dalam tempoh tiga minggu pertama, makanan yang sesuai adalah dari jenis fiber bukan karbohidrat, juga bukan haiwan yang diberi makan sumber karbohidrat dan kanji, hanya ikan dan ayam sebaiknya mengandungi lemak baik iaitu omega 3, 6 dan 9 seperti ikan talapia, tuna dan makerel, tiada nasi hanya tortilla fiber atau biskut tinggi fiber.

Macam biasa untuk diet, elak aiskrim, coklat dan seumpama dengannya. Pada pandangan saya, diet ini lebih menarik berbanding Atkin's Diet.

Ada yang mencadangkan 'cheat day' untuk diet Leptin ini. Walau bagaimanapun ia haruslah terancang. Pertama sekali, rancang waktunya. Waktu yang sesuai adalah selepas senaman jitu kerana pada waktu ini, badan kita paling suka menggunakan sumber karbohidrat berbanding disimpan menjadi lemak.

Waktu cadangan yang lain adalah sewaktu keluar berlibur. Yang penting, walau pun hari untuk bersuka ria makan, anda perlu tahu jumlah keperluan kalori anda dan ia tidak seharusya menjangkau lebih dari 200 kkal.

Senaman yang teratur
Ini menjadi perkara biasa untuk kesihatan, dan meningkatkan kadar metabolisme badan. Kadar senaman untuk wanita juga tidak perlu berlebihan setara dengan lelaki. Cukup sekadar yang boleh dilakukan sendiri di rumah tetapi tidak terlalu ringan. Ini semua ada kaitan dengan reaksi wanita pada Leptin yang berbeza dengan lelaki.

Saya kira setakat itu perkongsian saya tentang Leptin. Jika ada pembacaan baru, InsyaAllah saya akan tambah lagi. Di bawah ini saya letakkan pautan jika anda berminat dengan makanan yang sesuai untuk diet Leptin.
http://www.drkessinger.com/images/leptin_diet.PDF

Oleh itu, salam bijak nutrisi dari saya.



Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Di Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.

Beli buku yang anda suka:

Anda ada bisnes?. Iklankan produk/perkhidmatan anda di soho directory:

Perlukan supplemen untuk kekalkan kesihatan dan kejelitaan anda?. Jom bersama D’Hati Nutri

Hubungi Wani Mohd Nor
1)SMS/WhatsApp: 0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn
3)E-Mel: nurzahwanimohdnor@gmail.com

Sumber:








Tuesday, December 24, 2013

Komen pelajar Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Sumber: Akademi Bekerja Di Rumah

Sempena promosi Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif yang berbaki kurang seminggu, saya bawakan ulasan pelajar yang telah pun tamat tugasannya. Tahniah diucapkan kepada blogger Syahidah Mahassan. Bagi anda yang minat betul menghasilkan karya kreatif milik anda dan anda cita-cita menghasilkan cerpen dan novel, cepat-cepat rebut peluang yang diberikan ini. Saya kira, bonus-bonus yang diberikan sangat mengiurkan.



Ulasan Asas Blog Kelas Penulisan Kreatif
Guru Online : Monalita Mansor
Sumber : http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Teks : Syahidah Mahassan

"Wah, akak ada blog ya," kata seorang sahabat.
Sebenarnya saya bukanlah mula berblog pada tahun ini. Sejak saya mempunyai akaun Frienster dan Multiply lagi saya sudah berblog. Sekitar tahun 2006 semasa menuntut di Kolej Matrikulasi Melaka. Pernah juga menggunakan Wordpress dan yang paling lama Blogspot. Jadi, asas senggaraan blog saya memang sudah tahu. Semuanya agak berbeza apabila mengikuti Kelas Asas Blog dan Penulisan.

Saya dapati kebanyakan peserta kelas ialah suri rumah yang berhenti kerja dan mahu meningkatkan potensi diri melalui pembelajaran atas talian yang lebih mudah. Perkara ini mengubah persepsi awal saya sewaktu mula-mula mengikuti kelas. Tanpa saya sedari, saya dapat banyak info bagaimana menjana pendapatan dari rumah.

Saya menganggap tidak salah saya melabur wang bagi mempelajari skil dan teknik baru. Ilmu yang baik, apabila digunakan dengan cara yang betul, boleh menjadi asbab keupayaan kita untuk menjadi manusia hebat. Saya cukup terkesan dengan kesungguhan ibu-ibu dalam kelas yang saya sertai ini. Mereka bersungguh-sungguh mengatur kehidupan seharian semata-mata untuk menuntut ilmu.

Insya-Allah, saya akan jadikan ini pembakar semangat untuk saya memperbaiki dan menambah baik potensi diri. Apa yang menarik melalui kelas ini ialah guru akan memantau perjalanan kelas secara atas talian. Melalui medium ini, saya bebas melakukan tugasan saya pada bila-bila masa terluang. Asalkan saya ada sambungan Internet dan gajet di sisi.

Selama ini asyik berblog syok sendiri, lebih baiklah saya berblog dan memberi manfaat kepada pengunjung laman ini. Tanpa teknik yang betul, kita sendiri yang rugi. Maka, bergurulah untuk menjadi lebih baik. Asalkan tidak melanggar syariat Allah, saya dapat pula menyampaikan panduan berguna untuk orang lain.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/ 

**************************************************
Jangan lupa.
Daftar sebelum 31.12.2013
untuk dapatkan promosi ini.

Hubungi saya,
nurzahwanimohdnor@gmail.com

Monday, December 23, 2013

Kawal Leptin, bantu wanita kurus

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Bismillah, saya mulakan perkongsian pada hari Isnin yang damai. Sejuk-sejuk dengan hujan renyai.

Saya ingin kongsikan berkenaan pembacaan saya tentang Leptin, iaitu hormon yang membantu sama ada menambah berat badan atau mengurangkan berat badan. Jujurnya saya terjumpa artikel berkenaan perkara ini secara kebetulan apabila 'merayau-rayau' di internet.

Penambahan berat badan selepas bersalin merupakan sesuatu yang normal dan biasa terjadi. Jarang saya dapat lihat, apabila sudah berkahwin dan sejajar dengan pertambahan umur, wanita berkurang berat badan, tanpa membuat apa-apa kawalan. Ia umpama suis fungsi automatik.

Faktor yang menyebabkan pertambahan berat badan seiring usia dan kelahiran anak adalah metabolisme dan hormon badan. Salah satu hormon yang berkait rapat adalah leptin. Apabila terdapat banyak permintaan untuk produk menguruskan badan, ramai pakar berkaitan mula membuat pelbagai kajian dan muncul pelbagai jenis diet.

Diet yang membuat kawalan dengan hormon leptin merupakan salah satu jenis diet yang targetnya khusus untuk wanita. Kenapa dan bagaimana?.

Sebelum itu, mari kita ketahui apakah Leptin. Leptin merupakan hormon yang menghantar isyarat kepada minda untuk mengawal perasaan lapar atau kenyang. Leptin berkait rapat dengan lemak dan tahap metabolisme seseorang. Pengawalan terhadap leptin, sangat membantu mengawal tahap storan lemak, kadar metabolisme seterusnya penurunan atau kenaikan berat badan.


Individu yang berlebihan berat badan mempunyai tahap Leptin yang tinggi untuk membantunya mengatakan "Ok, sudah boleh berhenti makan". Kedua-dua wanita dan lelaki mempunyai fungsi Leptin yang sama. Ia normal. Persoalannya bagaimana diet pengawalan Leptin boleh disesuaikan khusus untuk wanita dan bukan lelaki?.

Berat badan dikatakan ada juga kaitan dengan genetik. Adakah Leptin berkait dengan genetik?. Tidak. Kerana setiap manusia mengandungi genetik. Kerana itulah pengawalan hormon merupakan perkara penting dalam penurunan berat badan.


Namun, leptin ada beza antara wanita dan lelaki. Kajian terdahulu menunjukkan wanita mengandungi dua kali
kadar Leptin berbanding lelaki. Secara logiknya ia satu bonus tambahan. Mudahlah wanita jadi kurus berbanding lelaki bukan. Hakikatnya ia tidak terjadi begitu. Mengapa?.

Walau pun fungsi Leptin sama sahaja bagi lelaki dan wanita, reaksi Leptin berbeza bagi kedua-dua jantina. Kerana itulah, berdasarkan kajian terkini, reaksi wanita terhadap Leptin boleh dimanipulasi untuk menjadikan wanita kurus.

Seperti yang dikatakan tadi, wanita mempunyai dua kali ganda lebih leptin daripada lelaki. Malangnya wanita mempunyai tahap rintangan terhadap leptin tiga kali ganda berbanding lelaki. Ini bermaksud, walau pun leptin telah memberi isyarat, "Ok cukup, berhenti makan!", wanita seolah-olah kabur dengan isyarat itu.

Lagi satu kekurangan adalah, apabila wanita mula berdiet, hormon leptin seperti di 'berhentikan', menyebabkan kadar metabolisme menurun dan pembakaran lemak seperti siput. Lebih teruk lagi apabila berhenti fasa diet, wanita mengumpul lemak berkali ganda lebih berbanding sebelum diet. Teruknya!.

Kata kuncinya, kawal rintangan leptin. Bagaimana caranya?. Kita bicara lagi akan datang.

Ini adalah perkongsian melalui pembacaan saya. Saya sendiri tidak pernah mencubanya. Asalnya saya tertarik dengan iklan pop up yang bertajuk "5 sayuran yang membuang lemak di perut".  Saya mahu tahu apakah sayuran itu.

Malangnya iklan adalah iklan. Saya perlu daftar satu kumpulan 'coaching' untuk diet. Saya rasa tidak perlu ke tahap itu.  Maka saya tidak dapat ketahui apakah sayuran berkenaan.

Bercakap tentang iklan, ia merupakan satu cara untuk promosi produk anda. Sama ada orang akan beli atau tidak (dalam kes saya ini, tidak), sekurang-kurangnya iklan itu berjaya menarik perhatian saya mendengar lanjut tentang produknya.



Pengiklanan menggunakan flash video di website sudah tentu menelan belanja. Di Akademi Bekerja di Rumah, saya menawarkan platform yang lebih murah. Jika anda berminat untuk iklan produk anda, sila layari http://nurzahwanimohdnor.blogspot.com/2013/08/pakej-pengiklanan-servisproduk-di.html untuk memilih pakej yang anda berkenan.

Terima kasih kerana membaca. Salam sihat dari bijak nutrisi.





Saturday, December 21, 2013

Kelas Pengenalan Akaun Bisnes Secara Online

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Alhamdulillah, sejak dari awal tahun 2013, Akademi Bekerja Di Rumah berkembang dengan pesat. Di bawah pengasas yang berpengalaman, idea demi idea diturunkan. Kali ini satu lagi kelas dibuka dengan 9 Modul pilihan. Kelas Pengurusan Akaun Bisnes Kecil/WAHM. 

Untuk permulaan, Akademi Bekerja Di Rumah membuka tawaran ini kepada kalian yang benar-benar memerlukan. Satu kelas pengenalan akaun yang akan dilaksanakan secara online. Dan ianya percuma dengan pendaftaran Kelas Asas Blog Fan Page (Mula Bisnes) dan Penulisan.

Ini maklumat dari www.akademiberkerjadirumah.blogspot.com.

Modul: Pengenalan Kepada Asas Perniagaan Dan Fungsinya
-Mengenal dan belajar kepentingan dokumen
-Invois, cash, bil, resit, purchase order

Kelas ini akan bermula Januari 2014 dan terhad untuk 10 orang sahaja.
Pendaftaran Kelas Asas Blog Fanpage (mula bisnes) dan penulisan berharga RM300 layak mendapat Modul: Pengenalan Kepada Asas Perniagaan Dan Fungsinya (bernilai RM150) secara percuma.

Untuk tempahan slot kelas online sila rujuk jadual di bawah:

Tarikh:
6.1.2014 

Masa:

slot 1:
9.30-11.30 (5 orang sahaja satu kumpulan)
 
slot 2:
2.30- 4.30 (5 orang sahaja satu kumpulan)

Tenaga pengajar bertauliah dan berpengalaman.

Bonus 
Pendaftaran Rakan Niaga/Pengurus Online
4 Ebook 

Dibuka untuk 10 PENDAFTARAN sahaja. Siapa cepat dia dapat.

Jika anda berminat, sila hubungi saya.

nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432

Thursday, December 19, 2013

Perkhemahan Bersama Keluarga

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Bismillah.

Musim cuti sekolah belum tamat. Musim hujan dan banjir juga belum tamat. Janji tetap janji, perlu ditunaikan.

Alkisahnya, Atok berjanji dengan cucu untuk berkhemah tepi laut. Atok canang-canang kot kot ada yang mahu mengikut. Memikirkan tahun ini belum lagi pergi berkhemah, saya pun angkat tangan untuk sertai. Suami sudah beri lampu hijau. Saya bertolak ke Melaka bersama anak dan dua orang anak buah. Lokasinya, Pantai Padang Kamunting, Melaka.

Aktiviti berkhemah memang sudah lazim untuk saya adik-beradik. Dari kecil mak dan ayah saya memang rajin bawa kami berkhemah tepi pantai. Sekarang melarat ke cucu. Kalau tidak silap mak dan ayah sudah ada 4 buah khemah. Selepas pencen, mak dan ayah makin menjadi. Daftar pula kelab 4x4 Suzuki Vitara. Bagus juga daripada duduk di rumah saja.

Kami tidur sehari saja di tepi pantai. Bertolak selepas asar, sampainya sudah gelap. Dengan angin kuat macam nak ribut, ombak bergulung-gulung dengan air pasang. Risau juga mahu berkhemah. Tapi ayah selamba. Almaklum sudah banyak pengalaman. Dalam hati saya asyik teringat Tsunami pula. Hai... .

Mencari tapak untuk berkhemah tidak susah untuk memilih. Kami sudah ada tapak 'rasmi'. Tambah pula bukan hujung minggu dan sudah malam. Tapak itu memang menanti kami. Siap susun kereta untuk lindung angin, kami hampar tikar dan siap untuk makan malam. Usai makan, Atok sudah arahkan cucu-cucu lelaki memasang khemah. Kali ini pakai khemah paling besar ala rumah teres setingkat.

Berpeluh juga pasang khemah sambil melawan angin. hampir dua jam. Siap khemah, angin pun reda. Dalam hati berkata, patutlah Atok tenang saja. Selesai berkemas, siap untuk solat dan tidur. Semua keletihan, letak kepala terus belayar. Dalam khemah, ditemani bulan cerah, angin sepoi-sepoi bahasa.

Esok pagi, aktiviti bermula subuh. Bersihkan diri dan solat di surau berhampiran. Usai solat, Nenek sudah siap sedia memasak sardin untuk dicicah roti, nasi goreng dan Atok tambah lagi dengan roti canai kegemarannya. Air kopi dan teh O siap dibancuh.

Anak-anak laju menjamah. Seronoklah makan sarapan tepi pantai. Tapi riuh jugalah mulut saya mengingatkan, sampah jangan disepah. Buang dalam tong sampah. Eloknya Majlis Perbandaran letak tong sampah selang sepokok. Banyak sungguh. kalau buang sampah merata juga, alahai... .

Siap makan, terus main air. Saya pun turut serta mendukung anak main air laut. Terkinja-kinja. Anaknya, bukan emaknya. Ada hati pula tidak mahu berpegang. Mahu jalan sendiri. Kalaulah sudah pandai berenang. Kakaknya pula takut-takut. Main di gigi air sahaja. Main pasir. Sempat pula tanam badan dalam pasir.

Elok matahari naik mencanak, semua sudah letih dan kelaparan. Jamah lagi sarapan yang berbaki. Sudah makan, berkemas pula. Siap semua, baru bertolak pulang. Masing-masing sudah 'tanned'. Yang gelap bertambah gelap.

Walau pun singkat, semua seronok. Puas hati. Anak buah yang akan mengambil keputusan PMR, hilang sedikit risaunya. Hadiah sebelum keputusan keluar. Terapi dulu sebelum debar.

Banyak cerita, sambil lihat gambar pun seronok juga. Ini antara koleksi gambar perkhemahan kami sekeluarga. Insya Allah tahun depan mahu pergi lagi.








Sepanjang satu hari berjalan dan berkhemah di pantai ini, semuanya sudah tidak sama macam dulu. Pangkin tempat bersantai, dulunya dibuat penduduk tempatan pesisir pantai, pengunjung pun boleh tumpang sama. Percuma. 

Kini, sudah berbayar. Sepetak Rm5. Kalau diberi pakai tag tangan sudah rasa macam di water park pula. 
Dulu percuma, sekarang berbayar. Biasa dilihat sekarang. 

Mahu peluang tingkat pendapatan seiring dengan fenomena ini?. Mari kita sama-sama timba ilmu bisnes. Mula dari yang asas bersama #akademibekerjadirumahJadi rakan niaga kami. Tanya saya jika anda suka dan sudah bersedia dengan cabaran ini.


nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432



Monday, December 16, 2013

Penyimpanan Makanan

Teks: Nurzahwani Mohd Nor.

Bila baca saja tajuk "Penyimpanan Makanan", apa yang anda fikirkan?.

Bagi saya, bila sebut tentang penyimpanan makanan, saya akan terbayang gambar peti sejuk. Zaman sekarang, sudah banyak yang canggih. Sehingga ada yang katanya membawa fungsi matahari ke dalam peti sejuk untuk buah dan sayuran anda.  Anda tahu kenapa mereka spesifikkan kepada sayur dan buah?. Menurut pembacaan saya, ia kerana buah dan sayuran sedikit 'tricky' kerana ia hidup berbanding bahan mentah seperti ayam, daging dan ikan.

Menyimpan makanan dengan betul penting untuk elak nutrisinya rosak, dan makanan busuk, rosak dan basi tidak dapat dimakan. Lebih buruk lagi adalah kesan kepada kesihatan badan. Pengalaman saya keracunan makanan, muntah berturut-turut, di angkat naik stretcher dan wi-wu-wi-wu naik ambulan ke hospital. Walau pun jarak hanya lima minit, sempat juga muntah sekali lalu dalam ambulan. Pulang ke rumah pula berkaki ayam sebab pergi tidak berkasut. Sungguh pengalaman keracunan makanan yang paling saya akan ingat berbanding peristiwa keracunan makanan lain seumur hidup.
Umum mengetahui salah satu cara untuk mengawet makanan adalah dengan cara menyimpan sejuk beku atau 'freezing'. Perkara paling mudah dilakukan. Beli saja bahan mentah lauk seminggu, siap-siap siang, simpan dibahagian beku. Dahulu yang saya tahu,, peti beku di bahagian atas. Sekarang ada juga peti beku di bahagian bawah. Macam saya punya. Masa awal-awal beli saya tidak suka sebab pelik. Lama-lama, tiada masalahnya pun. Sama saja. Kata tauke kedai, "kalau letak bawah lagi bagus. Lagi sejuk". Wallahualam. Emak saya punya lagi beku agaknya. Tunggu lama baru boleh cair.


Ok, baik. Kembali semula. Tujuan penyimpanan makanan di dalam peti sejuk untuk merencat aktiviti mikroorganisma. Walau pun terencat, ia tidak bermakna mikroorganisma itu mati. Jika kita keluarkan bahan mentah dari peti, dan dicairkan ia sedia untuk beraktiviti semula. Fungsi penyejukan tidak sama seperti fungsi pemanasan makanan atau memasak yang berpotensi membunuh mikroorganisma.

Setakat mana makanan boleh disimpan dalam peti sejuk?. Ya, kadang kala kita simpan sehingga kita lupa terus kewujudan makanan tersebut. Kadang-kadang beli telur, simpan di peti hingga berbulan-bulan tidak terguna. Saya kongsikan jadual yang saya jumpa melalui pembacaan. Sekadar untuk panduan umum sahaja ya.

Panduan umum jangka hayat penyimpanan makanan di dalam peti sejuk dan peti sejuk beku.


Makanan
Refrigerator (40 Degrees F)
Sejuk beku (0 Degrees F)
Telur segar, dalam cengkerang
3 minggu
Tidak boleh dibekukan
Telur mentah (kuning dan putih)
2–4 hari
1 tahun
Telur rebus
1 minggu
Tidak membeku dengan elok
Cecair telur terpasteur, bahan pengganti mengandungi telur, dibuka
3 hari
Tidak membeku
Cecair telur terpasteur, bahan pengganti mengandungi telur, belum dibuka
10 hari
1 tahun
Mayonnaise yang telah dibuka
2 bulan
Tidak boleh dibekukan
Kaserol beku
Tidak sesuai
3–4 bulan
Makanan siap dimakan
1-2 hari
Tidak boleh dibekukan
Sayur atau sup daging atau stew
3-4 hari
2-3 bulan
Burger dan stew daging
3-4 hari
3-4 bulan
Daging telah dimasak
3–4 hari
2–3 bulan
Gravy and broth
1–2 hari
2–3 bulan
Bahagian ayam
1–2 hari
2–3 bulan
Ayam goreng
3–4 hari
4 bulan
Ayam dimasak
3–4 hari
4–6 bulan
Nuget ayam
1–2 hari
1–3 bulan

Itu sebagai panduan. Tapi yang penting, bila anda tengok rupanya tidak semegah atau nampak tidak sesuai untuk dimakan, tambah lagi sudah berkulat. Apa lagi, buangkan sahaja. Konsepnya halallan toiyiban. Kalau sakit perut, tidaklah toiyyib lagi.

Bagi buah dan sayuran pula, seperti saya katakan sebelum ini, ia adalah produk yang hidup. Anda pernah ke sembelih kacang panjang?. Ok lawak saja. Buah dan sayur akan terus terdegradasi. Cara penyimpanan sebenar adalah sekitar 0.5-1 darjah celcius daripada 'freezing point'. Tapi kita bukanlah pengeksport sayur. Sekadar untuk simpanan di rumah, janganlah simpan sayur dan buah sampai lebam. Bila membeli, sentiasa beringat. Saya ada kongsikan tips untuk jimat bahan mentah di dapur. Boleh rujuk semula.

Macam mana dengan pisang?. Anda pernah simpan pisang dalam peti sejuk?. Letak semalaman pun, bila keluar, jadi lebam. Terdapat beberapa buah dan sayuran yang perlu disimpan pada bukan suhu peti sejuk. Kerana berlaku tindakbalas dipanggil 'chilling injury' yang menyebabkan kerosakan tisu buah atau sayuran, contohnya pisang, timun, dan kentang.

Itu serba sedikit tentang penyimpanan bahan makanan. Yang penting, nilai makanan dengan deria yang telah dikurniakan. Gunakan ia sebaiknya. Kalau-kalau anda lupa, boleh juga dengar-dengar panduan minum susu kotak yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan. Ada disiarkan di televisyen. Panduannya menggunakan deria. Seronok juga mendengarnya, sampai anak saya sudah naik hafal.

Sampai di sini sahaja. Salam nutrisi rohani dan jasmani.

Nurzahwani Mohd Nor.

Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Di Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.

Beli buku yang anda suka:

Anda ada bisnes?. Iklankan produk/perkhidmatan anda di soho directory:

Perlukan supplemen untuk kekalkan kesihatan dan kejelitaan anda?. Jom bersama D’Hati Nutri

Hubungi Wani Mohd Nor
1)SMS/WhatsApp: 0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn
3)E-Mel: nurzahwanimohdnor@gmail.com


Sumber:

ASHRAE, Handbook of Refrigeration. SI version.
Atlanta, GA: American Society of Heating, Refrigerating,
and Air-Conditioning Engineers, Inc., 1994

Fellows, PJ. Food Processing Technology - Principles and Practice. 2nd Edition. Woodhead, London, 2000.

http://www.eufic.org/article/en/artid/freezing-foods-quality-safety/

Friday, December 13, 2013

Ion dan kesihatan

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Buka jendela, ada sirna matahari menjenguk masuk. Wah, ayat bunga-bunga pula. Mesej sebenarnya, anda pernah lihat pada pancaran sinar matahari itu terdapat puing-puing habuk. Habuk-habuk itu mempunyai cas positif. Bila ia cas positif, adakah ia elok untuk kita?. 

Nama pun habuk. Sudah tentu tak elok bukan?. Ok. Habuk, spora, debunga, serbuk, asap adalah unsur bercas positif. Terlalu banyak unsur positif tidak bagus untuk kesihatan tubuh. Pernahkah anda dengar tentang ionizer?. Ia alat yang selalu disarankan untuk penghidap asma. 

Ionizer mengeluarkan cas-cas negatif yang akan bergabung dengan unsur-unsur positif.  Ia memang hukum alam. Ion negatif, mesti bergabung mencari ion positif. Magnet kutub selatan akan mencari magnet kutub utara. Lelaki dengan perempuan.

Dan Kami(Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan. (An-Naba, ayat 8).

Ion positif yang tidak seimbang menyebabkan perasaan tidak sihat. Kajian mengatakan ia menyebabkan ketidakseimbangan kimia badan, gangguan kepada pembekuan darah atau dikenali sebagai blood dyscresia. Siapa sangka, salah satu penyebab penyakit jantung, arteri tersumbat, stroke, kegagalan ginjal juga dikatakan berpunca dari keracunan ion positif yang banyak terserap dalam badan. 

Ionizer bertindakbalas dengan ion positif, membentuk keseimbangan. Dalam kes habuk tadi, ion negatif menyebabkan pemberatan molekul atau kata mudahnya bergumpal dan jatuh disebabkan graviti. Seterusnya sama ada di tapis oleh penapis atau disapu. 

Habuk-habuk yang nampak bergelimpangan di rumah itu, yang seimbanglah ya. Kalau di rumah saya, dua kali sapu pun masih banyak lagi. Kesan pembinaan rumah di sekeliling. 

Di mana paling banyak punca ion positif?. Antaranya adalah tv, handphone, cahaya lampu dan seumpamanya. Aurora yang berlaku di kutub utara dan selatan juga menyebarkan ion positif yang banyak. Pada waktu ini, kadar stress orang-orang di kutub meningkat. Ini adalah penceritaan rakan saya hasil tontonan di National Geographic.

Bagaimana pula dengan ion negatif?. Punca ion negatif selalunya di tempat yang mendamaikan. Contohnya gunung, laut, tasik, sungai, gua dan yang paling menarik adalah di dalam piramid. Ia adalah kesan daripada lepasan magnet dari batu-bati granit yang menyokong piramid itu sendiri. Subhanallah. Segalanya elok menurut aturan Allah untuk memberi peringatan kepada kita. 

Penyelidik-penyelidik mumia dan piramid mengatakan mereka berasa segar dan badan terasa sihat apabila melakukan penyelidikan di situ. Sampah sarap makanan yang ditinggalkan pengunjung piramid juga tidak membusuk malah mengering dengan elok walhal ia tempat yang tertutup. Semuanya kesan ion tadi. Mungkin juga itu sebabnya ada yang mensyorkan penggunaan lampu garam batu. Saya belum ketemu lagi cerita berkenaannya.

Bagaimana dengan nutrisi dari makanan?. Nutrisi yang kita makan, terutamanya mineral mempunyai unsur positif. Namun, semasa ia dimakan, sudah tentu ia dalam bentuk yang stabil. Semasa proses pencernaan ia dipecahkan kepada Na+, K+, Ca2+ dan sebagainya. 

Natrium contohnya membantu keseimbangan air, asid dan alkali dalam sel badan. Ia juga merupakan bahan penyusun cecair pankreas, hempedu, dan juga peluh. Natrium penting untuk pengecutan otot dan fungsi saraf, dan memainkan peranan dalam proses penyerapan karbohidrat.

Banyak lagi kisah-kisah ion yang dikaji termasuklah pengubatan penyakit. Dengan sedikit pengetahuan yang saya peroleh dan kongsikan, semoga ia dapat memberi manfaat. Ion negatif dicari untuk manfaat kesihatan minda dan tubuh agar sentiasa kekal positif. 

Sebagai ibu dan suri di rumah, perkara seperti ini penting juga. Kekal minda dan emosi yang positif. Ia bukan sentiasa mudah, tapi bila tahu cara, mana tahu berkesan kan?.

Salam nutrisi rohani dan jasmani.



Hubungi penulis
nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts