Showing posts with label Bab 6 Kenali Keperluan Nutrisi Individu. Show all posts
Showing posts with label Bab 6 Kenali Keperluan Nutrisi Individu. Show all posts

Thursday, December 11, 2014

Kenapa anak tak mahu makan?

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Sebelum ini saya ada bicarakan berkenaan makanan anak nutrisi kosong (disini). Ruginya anak-anak yang sedang proses membesar makan jajan yang kalori kosong.  Saya faham perasaan ibu bila lihat anak tak mahu makan.  Alternatif berikan jajan asal anak kenyang sebenarnya menyenangkan hati, betul tak?.  Namun akibat jangka masa panjang perlu difikirkan juga.  


Macam mana nak selesaikan masalah anak tak mahu makan?.

Saya catat hasil pembacaan saya di sini sebagai panduan saya dan ibu-ibu di luar yang juga memerlukan perkara yang sama.

Berdasarkan pembacaan, kebanyakannya mengatakan masalah anak tak mahu makan adalah berpunca daripada tabiat pemakanan seawal anak diperkenalkan dengan makanan lagi.  Apabila anak berumur 6 bulan, ibu mula sediakan makanan.  Biasanya mula dengan bubur kosong.  Kemudian cuba jaya dengan penambahan sayur, biasanya lobak (sayalah tu), kemudian diikuti dengan protein contohnya ikan bilis.  

Masa saya sediakan makanan anak ini, saya tiada pengetahuan tentang hasilkan puree buah-buahan dan sayur-sayuran.  Di sinilah rasanya kesilapan saya seawal pengenalan makanan untuk anak.  Namun rasanya mujur juga bila anak sudah mula boleh mengunyah, saya berikan pelbagai sayur, brokoli, bayam, sawi dan lain-lain sebab saya memang pemakan sayur.  Jadi, kurang sikit masalah tak mahu makan sayur untuk anak. 

Jadi, pengenalan pelbagai jenis makanan yang bukan jajan memang penting.  Sogokkan anak dengan pelbagai jenis makanan dan masakan dari awal. Pelbagaikan warnanya. Bagi menarik orang kata. Makanan manis dan masin terlampau kita sembunyikan dahulu.  Sekurang-kurangnya kita di rumah buat.  Kadangkala diluar susah nak dikawal bukan?

Ok, masalah kedua anak tak mahu makan berpunca dari masalah penghadaman dan berkaitan dengan masalah usus.  Masalah penghadaman ini adakalanya memang masalah genetik atau pun jangkitan usus. Adakalanya juga masalah berpunca daripada ibu semasa hamil.  Menurut Dr Suriyakhatun, pengamal perubatan homeopati, ibu yang kurang selera dan usus terjejas waktu mengandung menyebabkan mikrobiologi usus tak sempurna diturukan kepada bayi.  Ini menyebabkan bayi mengalamai masalah seperti tidak tahan laktosa, allergi dan lain-lain.  Susu formula yang tidak serasi dengan bayi juga mempengaruhi sistem penghadaman bayi yang menyebabkan selera makan anak terbantut.

Jadi, perkara ini perlu diberi perhatian oleh ibu-ibu.  Mencegah dari awal lebih elok.  Cuba jaya selesaikan masalah anak tak mahu makan makanan berkhasiat berbanding terus mengalah pada jajan kalori kosong.

Nanti saya kongsikan pula cara-cara pikat anak makan.  Perkongsian pengalaman dan juga dari pembacaan saya ya.


Hubungi penulis :


 Email : nurzahwanimohdnor@gmail.com
 FB : https://www.facebook.com/zahwanimn
 Sms@Whatsapp : 0136200432



Salam nutrisi rohani dan jasmani,


Ingin belajar buat blog?




Panduan untuk mula bisnes dan
e-book yang lain.

www.books-etcetera.blogspot.com

Barangan mainan sambil belajar 
untuk si kecil anda. 
Dapatkan di sini
www.pitstopmamadanjunior.blogspot.com
https://www.facebook.com/pitstopmamadanjunior

SweetMuslimah.com

Monday, February 3, 2014

Pemakanan awal untuk anak 4 bulan

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Bismillah.
Alhamdulillah.

Kembali bersiaran selepas bercuti panjang di kampung yang kurang liputan internet. Kebaikkannya, tiada siapa dapat berinternet dan gunakan masa sebaiknya berbual dan beramah mesra dengan sanak saudara berbanding tunduk muka lihat smart phone dan tablet masing-masing.

Sebelum pulang bercuti, dalam perjalanan pulang ke kampung, sempat saya skroll Fb dan terjumpa satu status rakan yang bertanya pendapat tentang anaknya berumur 4 bulan yang cirit birit selepas diberi makan nestum beras.

Ramai yang berikan pendapat, termasuklah rakan yang beri anaknya makan seawal usia 2 bulan. Saya juga tidak ketinggalan beri nasihat. Iya, memang ada bayi yang boleh diberi makan sebelum usia  6 bulan mengikut keupayaan bayi tersebut, kira kira pada umur 4 bulan setengah, iaitu bila bayi sudah dapat mengawal pergerakan kepala dan beberapa syarat lain. Tapi, bila diberi makan seawal usia 2 bulan kerana takut lapar, saya kira itu sudah silap sepenuhnya. Memang iya, anak tidak menunjukkan reaksi serta-merta dan nampak selamat ketika itu. Fungsi tubuh di dalam badan. Kita tidak dapat terka. Wallahualam. Setakat pembacaan dan perkongsian dengan ibu moden yang banyak membaca, seeloknya pemberian makanan adalah pada 6 bulan ke atas. Pemberian awal makanan juga adalah untuk mencukupkan zat makanan, bukanlah untuk anak lena tidur berpanjangan dan nampak gemuk. Susu masih lagi sumber utama zat. Yang penting harus ingat sistem penghadaman bayi belum cukup matang untuk proses makanan. Kita sayang anak kita kan?. Kesian mereka kelelahan nak proses makanan.

Bagi saya, yang penting adalah tuntut ilmu, membaca membaca bertanya orang yang betul. Ya memang ada doktor yang tak dapat beri jawapan yang sesuai dengan pembacaan. Jumpalah lebih dari seorang doktor. Saya pernah diajar oleh seorang doktor lelaki di bahagian kecemasan hospital untuk buat susu formula, dengan mengujinya susu di tangan. Katanya susu harus rasa lebih panas di tangan. Masa itu, hati saya rasa nak meletup untuk buktikan apa yang dikatakannya salah. Namun akal membataskan hasrat saya. Anak saya demam panas, dan saya perlukan ubat segera untuk redakan panas. Tak perlu layan doktor yang merapu di tengah malam. Wajarnya salah, kerana suhu susu formula perlu sama dengan suhu badan, Suhu yang sesuai untuk bayi minum. Bukan panas seperti suhu air teh untuk minum petang.

Begitu juga dengan nasihat untuk beri bayi makan awal. Tanyalah mereka yang pakar. Jangan rasa rugi untuk bayar kepada pakar kanak-kanak untuk tanya soalan penting yang anda sememang-memangnya tidak dapat menjawab. Ia lebih puas hati berbanding tanya soalan di fb saja. Nasihat dari rakan mungkin sebagai pendapat awal untuk kita halakan pembacaan lanjut kita ke mana.

Wallahualam. Hanya secebis pendapat saya.

Friday, January 17, 2014

Hidangan awal bayi

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Hari ini saya bercerita lagi tentang makanan awal bayi. Bukan apa, dahulu saya memang mempunyai masalah masa memberi makanan kepada anak saya. Jadi bila ada peluang bertemu jalan penyelesaian dan jawapan kepada masalah saya dahulu, saya ingin berkongsi.

Dahulu masalah saya adalah apa yang patut saya mulakan untuk bayi saya. Bila melihat rak makanan bayi, ada pelbagai. Dari serbuk hingga ke makanan dalam jar/botol. Bila ditanya pada orang-orang berpengalaman, lagilah pelbagai. Jalan penyelesaian yang saya ambil, apa yang sesuai dengan saya. Mujur pada masa itu anak saya kurang gemar makanan serbuk yang dijual di pasaran. Jadi sudah tolak satu pilihan.

Rupanya, ada juga alat bantu atau langkah demi langkah dalam memilih makanan bayi. Dahulu saya hanya fikirkan sudah sampai masa untuk beri makanan kepada bayi. Sebabnya dia lapar. Rupanya, beri makanan kepada bayi bukan saja sebab utamanya dia lapar. Namun lebih kepada mencukupkan nutrisi mereka. Dan juga imunisasi berterusan daripada serangan penyakit.

Daripada Gina Ford penulis berpengalaman dalam bidang makanan awal kanak-kanak ini, yang paling mudah untuk hidangan awal bayi adalah nasi atau bubur nasi sehalus mungkin untuk memudahkan sistem penghadaman bayi yang masih muda.

Kemudian teruskan dengan pengenalan buah dan sayuran. Langkah ini sangat penting dan harus pastikan pengenalannya dengan baik dan molek. Salah satu sebabnya untuk elak anak menolak sayur apabila dia besar. Serta langkah ini penting untuk pengenalan bahan bersumberkan zat besi (iron). Silap cara, anak menolak, mungkin ada masalah sembelit dan sebagainya.

Saya rasa ilmu yang saya dapat ini menarik. Mungkin anda sudah tahu atau belum. Saya cuma harapkan perkongsian ini membantu anda.



Friday, January 10, 2014

Bolehkah beri bayi makan sebelum 6 bulan?

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Menerima kehadiran bayi yang menjadi ahli keluarga baru sememangnya mengujakan. Tiada latihan atau 'try and error'. Bila sudah di depan mata, mesti hadapi sebaik mungkin. Dibantu dengan pengalaman dari orang sekeliling yang kadang kala membantu, kadang kala jadi celaru.

Situasi yang sama dengan episod beri bayi makan. Kita diajar oleh doktor, mula beri makan pada umur enam bulan. Kemudian kita dengar, jiran sudah beri anaknya makan nestum dibancuh susu seawal 2 bulan. Makcik-makcik pula cakap, "alah, Kak Ida kamu tu makcik bagi makan dari lahir lagi. Elok saja jadi orang.". Apa pilihan anda?.

Usia bukanlah ukuran rigid. Ada yang kata 4 bulan ada yang terus sampai 6 bulan. Jika kurang dari 4 bulan, sungguh tidak patut. Bayi tidak boleh menerima makanan pejal terlalu awal berikutan sistem pencernaannya yang tidak matang. Tidak boleh mencerna dan menyerap nutrisi dari makanan pejal melainkan susu ibu atau sus formula sahaja.

Ibu dipandu oleh tahap anak kita. Jadi apa panduannya yang memberi isyarat anak sudah boleh diberi makan?.

1. Bayi sudah boleh mengawal kepalanya. Boleh tegakkan kepala, boleh tarik kepala ke belakang. Ini penting supaya kita boleh lihat respon bayi pada makanan.

2. Bayi menunjukkan rasa teruja melihat makanan. Ada yang nampak makanan sudah mahu sambar makanan. Ada yang sampai mengecap mulut. Comel sungguh bila mengenangkannya.

3. Bayi sering lapar. Mahu menyusu lebih dari biasa.

4. Bila doktor kanak-kanak telah memberikan 'green light'.

Jadi itulah panduan yang boleh kita lihat sebagai isyarat anak kita sudah boleh makan. Namun. pilihan makanan masih terhad dan susu masih lagi menjadi keutamaan. Pengenalan makanan juga perlu dibuat secara berperingkat.

Tempah ebook di sini [Borang tempahan]


Wednesday, November 27, 2013

Rasam pelega sejuk badan, selsema dan batuk

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Pagi yang aman dan tenang. Alhamdulillah pagi ini semua berjalan lancar, anak tidak merajuk, trafik pun tidak sesak. Hari ini masih bersiaran dari Institut Terjemahan Bahasa, menghabiskan baki kursus intensif terjemahan di bawah program HEARTS untuk suri rumah.

Walau pun rasa renyah selepas lama tidak keluar rumah mengikut waktu pejabat, ada perkara yang suka berkenaan kursus ini. Perhimpunan suri rumah. Bila suri rumah sudah berhimpum, berbagai-bagai topik akan keluar. Sudah pasti salah satu topik biasa yang keluar adalah resepi. Salah satu resepi yang kami kongsikan adalah rasam. Resepi ini menarik perhatian saya, sebab ia bukan resepi biasa-biasa yang kaum melayu makan. Sebenarnya ia adalah hidangan untuk kaum India. Jika anda suka makan di Banana Leaves, hidangan ini memang tidak asing lagi.

Asal-usul rasam adalah daripada Selatan India. Ia juga dikenali sebagai 'Indian Clarified Herbal Consomme’ atau 'sup herba yang terbaik'. Seperti namanya, rasam adalah campuran rempah herba. Uniknya, ia mempunyai nilai perubatan. Itu yang saya suka dan tertarik dengan rasam ini. Rasam dikatakan sesuai untuk merawat sejuk-sejuk badan, demam selsema yang ringan dan juga batuk yang disebabkan kepanasan.  Selain itu, ia juga elok untuk sistem penghadaman. Menurut rakan saya, ia sesuai untuk mereka yang ingin menguruskan badan. Selepas makan, minumlah rasam.  Beliau juga menambah, bila berpantang, elok juga makan rasam, tapi jangan pula masukkan bahan yang tidak sesuai dimakan seperti ketam. Oh, rasam ini boleh dimakan seperti sup, atau lazimnya diminum menggunakan cawan. 

Jujurnya, saya tidak pernah pun merasai hidangan rasam, tapi saya mahu masak hidangan ini satu hari nanti. Dek darah India yang mengalir dalam tubuh ini, saya memang sukakan masakan berempah berbanding suami yang kurang suka. Mungkin sebab dia berdarah cina. Andaian sahaja.

Rakan suri rumah semasa kursus ini, saya panggilnya Yoges. Beliau berkongsi resepi rasam ketam bersama kami. Lagaknya sudah seperti seorang chef pula. Lucu. Ok, boleh lihat resepi di bawah ya.

RESEPI RASAM KETAM

Bahan-bahan

Lada hitam 10 biji -kisar
Jintan putih 2 sudu teh -kisar
Jintan manis -kisar
Bawang putih - 10 ulas -kisar
Daun Kari
Air asam jawa sedikit
Garam secukup rasa
Kunyit  hujung sudu teh
Air 1 liter
Tomato yang dihancurkan
Kaki ketam/ sepit (tidak perlu gunakan badan ketam, badan ketam boleh digunakan untuk hidangan lain).

Kaedah

1. Tumis semua bahan kisar (bawang, lada hitam, jintan) kaki ketam dan daun kari sehingga naik bau. 
2. Masukkan tomato. 
3. Masukkan air perahan asam. 
4. Masukkan air.
5. Tunggu hingga mendidih.

Sedia untuk dihidangkan.

Mudah bukan. Saya suka hidangan mudah dan berfungsi seperti ini. Tidak sampai 15 minit pun boleh siap.
Mudah, ringkas dan kos pun minima. Sekali sekala apa salahnya ubah hidangan kebiasaan kan?. Selalu sudah cuba makan tose dan capati, kali ini tambah lagi satu hidangan kaum India, rasam.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama(kamu) dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Al-Mumtahanah:8)


Tempah e-book 101 IDEA HOME BASED BISNES pada harga promosi.
Hubungi penulis
nurzahwanimohdnor@gmail.com
0136200432




Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts