Sunday, September 29, 2013

Kenapa paip rumahku pecah?.

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Koleksi Nurzahwani Mohd Nor

Hari ini hari minggu. Masih lagi bercuti. Jarang juga saya lekat di rumah waktu hujung minggu. Selalunya balik kampung ke Melaka atau Temerloh. Atau pun ada perancangan menyelesaikan urusan di luar. Tapi, kali ini, saya di rumah. Pagi tadi menunggu tukang paip datang untuk membetulkan paip. Habis basah separuh bilik. Nasib baik tidak banyak barang. Jadi urusan mengemas lebih mudah. Alhamdulillah.

Pengajaran untuk saya, dan juga jika anda juga mempunyai rutin yang sama. TUTUP PAIP MESIN BASUH SELEPAS DIGUNAKAN. Entah kenapa, selepas berkahwin, susah pula saya mahu amalkan perkara itu. Selalu lupa. Akibat terlebih tekanan, paip pecah. Sebenarnya sudah dua kali. Kali pertama, masih belum perasan. Tapi kali ini, saya yakin memang itulah puncanya. Tutup paip, tutup paip, tutup paip. Memang tak nampak air terbazir. Tapi rupanya benda lain pula terjadi.

Jangan lupa ya kawan. Tutup paip selepas basuh baju (sambil tepuk bahu diri sendiri).

Disebabkan paip bocor dan perlu mengemas bilik, jadi saya jadi terlebih rajin. Mula mengemas bilik stor. Membuang apa yang patut. Simpan apa yang berharga. Apa yang saya jumpa. Macam-macam!. Dari resit bayaran pelamin, surat cinta dulu-dulu sampailah buku autograf tingkatan lima di MRSM Jasin. Hihihi. Tergelak-gelak sambil mengemas bersama suami. Aktiviti menambah kasih-sayang kot?.



Ok. Yang penting, kami berjaya mengemas bilik yang banjir dan bilik stor yang sudah susut barangnya. Saya suka!. Saya juga jumpa banyak kain perca dan macam-macam idea bermain di kotak fikiran. Yang penting sekarang, jangan MALAS. Usaha cari masa. Usaha tangga kejayaan. Nurzahwani Boleh!.

Anda ada matlamat. Anda juga boleh!. Saya doakan anda juga berjaya ya. 
Kalau mahu jana wang dari rumah, saya boleh bantu tunjukkan jalannya. WhatsApp saya 0136200432 ya.


Saturday, September 28, 2013

Jom Kenal Aditif Makanan.

Teks: Nurzahwani Mohd NorFoto: Google
Sumber: 
Kementerian Kesihatan Malaysia
Dzulkifly Mat Hashim, Institut Penyelidikan Produk Halal,UPM.

Anda adalah seorang suri yang sangat sibuk, mengurus anak-anak dan mengurus rumah. Ditambah pula dengan komitmen dan semangat untuk membantu keluarga menjana pendapatan di luar rumah mahu pun dari rumah. Kemudian anda lihat sudah terhidang makanan siap dimasak di atas meja. Siap untuk dimakan. Sedikit teruja. Hasil kasih sayang seorang suami memasak untuk isterinya. Dalam hati berbunga-bunga. Semua ahli keluarga sudah sedia, anda pun ngapp untuk suapan pertama. TIADA RASA!. Tawar tidak, manis pun tidak. Rasa umami apatah lagi???.

Baik, apa perasaan anda apabila menjamah makanan yang tiada rasa seperti itu?. Tak lalu nak makan pun ada bukan?. Situasi di atas hanyalah analogi. Jangan cepat melenting. Masak semula dan letaklah garam, kicap, cuka, minyak bijan, sos tiram, apa saja untuk mencukupkan dan menyedapkan rasa. Ya, itulah sebenarnya penambah makanan atau lebih kerap disebut aditif makanan. 


Mengikut peraturan 19 (1) Peraturan-peraturan makanan 1985, aditif makanan adalah ialah bahan yang ditambah secara sengaja ke dalam atau ke atas makanan dalam kuantiti yang sedikit, tidak termasuk vitamin & mineral. Tujuannya adalah:-
  • mengekalkan/ membaiki kualiti, 
  • penampilan (tekstur, konsistensi, appearance), 
  • perisa, 
  • bau, 
  • rasa
  • memanjangkan tempoh penyimpanan 
Maksud di situ jelas. Garam, kicap, cuka, minyak bijan, sos tiram merupakan aditif makanan. Aditif makanan ini dikelaskan kepada enam (6) iaitu:-
  • Bahan pengawet
  • Bahan pewarna
  • Bahan perisa 
  • Penambah perisa 
  • Antipengoksida 
  • Kondisioner makanan

Siapakah yang menggubal, mengawal jualan, kelulusan dan memantau perkara berkaitan aditif makanan?.

Badan yang memantau aktiviti berkaitan aditif makanan adalah Bahagian Kawalan Kualiti Makanan (BKKKM) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadi, anda boleh merujuk kepada badan berkenaan sekirannya anda ingin dapatkan maklumat lanjut, atau pun membuat aduan.

Aditif makanan, diperbuat daripada apa?

Bila sebut aditif makanan, ramai yang mula rasa dalam hati perasaan sangsi. Ada pula yang mencadangkan agar pengusaha restoran meletakkan tanda, TIDAK MENGGUNAKAN PERASA DAN PENGAWET MAKANAN di restoran mereka. Bagi saya, ia adalah penipuan jika letakkan tanda sebegitu. Meletakkan papan tanda itu bagus, tetapi perlu lebih jelas kerana perasa dan pengawet makanan itu perlu, cuma yang tidak bagus adalah ADITIF MAKANAN SINTETIK ATAU TIRUAN. 


Jadi, aditif makanan ini sebenarnya terbahagi kepada empat (4) sumber:-

Sumber dari tumbuhan
•Agen pemekat yang diekstrak dari buah-buahan, “seaweed. 
•Asid tartaric dari buah-buahan 
Nature-identical products (plant or animal sources)
•Asid Askorbik dari buah-buahan 
•Tocopherols dari minyak sayuran 
•Carotennoids dari buah-buahan & sayuran 
•Citric acid dari buah citrus 
Modified natural substances (plant & animal sources)
•Agen pemekat yang ubahsuai dari kanji (kanji terubahsuai) seperti sorbitol 
Man-made products/synthetic 
•Antioksida seperti butylated hydroxyanisole 

Pilihan yang paling bagus adalah yang nombor satu dan yang paling patut 
dielakkan adalah nombor empat. Umumnya, apabila produk makanan hanya mengandungi aditif makanan semulajadi, pengeluar akan meletakkan papan tanda (label) sebesar-besar alam. Maksudnya memang mudah dilihat, bagi yang membaca label makanan. Contoh makanan yang selalu mempunyai label sedemikian adalah jem (spread). 

Saya sendiri membeli satu jenama jem yang tertulis tiada aditif makanan tiruan selain daripada apa yang terkandung di dalam buah-buahan tersebut. Dan dijadikan cerita saya terbeli jem buah oren. Ya Allah, sangat lah pahit. Jadi saya tahulah, benar bagai dilabelkan. Memang tidak sedap dimakan bersama roti. Tapi disebabkan ia tiada aditif, saya buatkan ia minuman. Citrus+madu+air panas. Elok diminum ketika selsema. Hahaha... Jangan tiru pula. Saya tak jamin keselamatan anda. Setakat ini alhamdulillah, tiada rasa sakit perut.

Kesimpulannya, apa yang ingin saya sampaikan di sini, aditif makanan, tidak pula bahaya dan tidak pula seratus-peratus bagus. Kita hanya perlu memilih. Macam mana mahu menjadi pengguna yang memilih?. Baca label, baca label, baca label. Bukan setakat baca harga saja. Ok?.
Salam ukhwah, salam kesihatan.

*****************************************
Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Di Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.

Beli buku yang anda suka:

Anda ada bisnes?. Iklankan produk/perkhidmatan anda di soho directory:

Perlukan supplemen untuk kekalkan kesihatan dan kejelitaan anda?. Jom bersama D’Hati Nutri

Hubungi Wani Mohd Nor 
1)SMS/WhatsApp: 0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn
3)E-Mel: nurzahwanimohdnor@gmail.com

Friday, September 27, 2013

Projek Kutipan Sumbangan Pembangunan Taman Ilmu

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: http://as-sirajulmunir.blogspot.com/2013/04/perutusan-khas-projek-kutipan-sumbangan.html


Bismillah...

Entri ini saya naikkan semula sempena hari Jumaat dan juga waktu gaji. Mungkin ada yang mencari ruang untuk bersedekah dan menyumbang, jadi saya memberikan peluang di sini. Terima kasih kepada yang sudi membantu. SKROLL BAWAH UNTUK ENTRI TERKINI.
***************************************************************


Firman Allah:-

jw31.gif (6918 bytes)

Tafsirnya: "Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedah dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

(Surah Al-Baqarah: 272)

Saya ingin membantu Ustazah Zaidatul Akmam menjayakan projek beliau dalam menaik taraf Taman Ilmu As-Sirajul Munir. Fasilit yang sedia ada nampaknya semakin tidak muat dek melimpahnya orang ramai yang datang. Terutama sekali jika ada jemputan penceramah. Jadi dengan rezeki yang ada, sudilah kiranya anda menambahkan rezeki di akhirat sana.


Maklumat lanjut berkenaan Taman Ilmu As-Sirajul Munir, boleh lawati di blog http://as-sirajulmunir.blogspot.com. Anda juga dijemput ke lokasi mereka di 


Kepada yang sudi menderma, terima kasih saya ucapkan. Saya juga mengalu-alukan jika anda ingin menyertai aktiviti pengajian di sini. Boleh lawat blog as-sirajul munir untuk lihat aktiviti yang ada. 

Thursday, September 26, 2013

Tips jimat duit dapur dan elak pembaziran

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google

Surirumah sepenuh masa, surirumah separuh masa, suri pejabat atau apa saja gelarannya, apabila sudah berkahwin, urusan di dapur adalah satu rutin lazim. Termasuklah pembelian barang dapur berupa sayur, ayam, daging, apa sahaja yang menjadi bahan masakan. Saya lebih tekankan barangan basah berbanding barangan kering kerana bahan ini yang selalunya berlebihan dibuang atau tidak terpakai.


Sayuran dan sumber protein mudah rosak, busuk, kurang khasiat dan tidak segar dek aktiviti mikrob yang berleluasa. Di tambah pula bahan ini cepat teroksida dan terdegradasi. Jadi seeloknya ia dimakan segar. Tapi jika sudah tidak segar, mahu dibuang pula, sayang. Macam mana cara yang elok untuk dipraktiskan untuk mengelakkan barang dapur ini rosak dan terbuang?. Saya kongsikan tips daripada Abang Abu, pakar Mekanik Wang. Jika anda mahu tahu lanjut tentang Abang Abu, google saja. Pasti ada.

Apa tipsnya?

Selalunya kita membeli bahan basah untuk dimasak dalam kadar seminggu sekali. Bukan sebulan sekali. Sebelum mula membeli, TULISKAN menu yang anda rancang mahu masak dalam seminggu. Contoh:-


Isnin.
Sarapan: Mee goreng kasih sayang
Tengah hari: Kurma telur resepi Kak Aishah Hussein+ Sayur kobis campur

Selasa
Sarapan: Sandwich roti
Tengah hari: Ikan bakar+ Asam rebus+ Sup sawi.

Contoh saja. Tidak ada kaitan yang hidup atau yang mati. 
Ya, terus buat menu begini untuk seminggu. Jika anda hanya ada di rumah sehingga Khamis, kemudian pergi bercuti, jangan pula buat menu sehingga Ahad. 

Jadi, daripada menu yang sudah ditulis tadi, kita akan NAMPAK apa bahan yang diperlukan. Nah, beli saja yang berkenaan. Mudah bukan?. Yang tidak termasuk dalam senarai, tak perlulah beli. Jadi, apa yang termuat dalam peti ais nanti, hanya yang diperlukan saja. 

Apa yang kita dapat daripada tips ini jika diamalkan?.

  • Barang tak penuh dalam peti ais
  • Mudah cari bahan dalam peti ais
  • Jimat elektrik kerana kurang barang dalam peti ais
  • Cukup seminggu barang pun habis
  • Tidak terbuang begitu sahaja akibat busuk
  • Nutrisi bahan masakan terjaga, segar dan berkhasiat
  • Banyak lagi jika dapat difikirkan.


Saya juga sedang cuba untuk konsisten praktis tips ini. Selepas amalkan memang saya dapat faedah yang tersenarai di atas. Jika anda rasa ia sesuai untuk anda, silalah amalkan.

--------------------------------------------------------------------------------------------
Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Di Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.

Beli buku yang anda suka:

Anda ada bisnes?. Iklankan produk/perkhidmatan anda di soho directory:

Perlukan supplemen untuk kekalkan kesihatan dan kejelitaan anda?. Jom bersama DHati Nutri

Hubungi Wani Mohd Nor 
1)SMS/WhatsApp: 0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn

3)E-Mel: nurzahwanimohdnor@gmail.com




Wednesday, September 25, 2013

Ulasan Kelas Blog dan Fan Page- Saya Belajar Asas Blog

Sumber teks: Nadra Amat
Foto : http://naufalsayang.blogspot.com/2013/05/kelas-online-belajar-asas-blog-kelas.html

Assalamualaikum,


Sebelum ini saya pernah ada blog, tetapi blog itu saya biarkan sehingga bersawang dan akhirnya saya tak pernah buka lagi. Bila saya mula belajar berniaga secara online, saya cuba buat blog semula. Tetapi saya tidak berpuas hati kerana banyak yang saya tidak tahu. Walaupun saya selalu mencari toturial yang dikongsikan dalam internet. Saya dapat rasakan blog saya banyak kekurangan. Pernah juga saya terfikir ingin mengupah orang profesional untuk buat blog, tetapi kos agak tinggi. Lagipun,saya memang nak belajar membuat blog sendiri.

Bila saya nampak iklan tentang kelas penulisan dan asas blog, saya terus menyertainya. Saya rasakan inilah peluang terbaik untuk saya tambahkan pengetahuan tentang blog. Tambahan lagi, kelas di buat secara online. Jadi mudah untuk saya mengikutinya walaupun jauh di Semenanjung sana dan saya di Sabah. Setiap hari saya boleh bertanya soalan kepada cikgu, dan masa adalah fleksibel. Pada permulaannya,cikgu telah memberikan soalan analisa tentang latar belakang, pengalaman, kerjaya, minat dan matlamat. Kemudian e-book asas blog dalam bentuk blog diberikan untuk dibaca, rupanya memang banyak yang perlu dibelajar, terutamanya cara dan teknik penulisan yang baik. Selepas membaca e-book tersebut, tugasan akan diberikan. Saya masih baru belajar, tugasan saya pun masih belum selesai iaitu penulisan 44 entri. Tetapi, saya sudah ada keyakinan untuk menulis, walaupun Saya tidak ada pengalaman dalam penulisan. Masih banyak yang saya tak tahu dan perlu dibelajar. Insyaallah, saya akan habiskan pembelajaran ini.

Barulah saya faham, saya bukanlah seorang yang boleh belajar dengan menggunakan toturial atau dengan pembacaan buku sahaja. Saya perlukan guru untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengetahuan. Semoga cikgu Wani dan Puan Masayu terus memberi bimbingan. Dan para wanita diluar sana yang ada minat untuk belajar cara asas blog, bolehlah sertai kami di kelas belajar asas blog.

=======================================================


Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Di Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.
http://nurzahwanimohdnor.blogspot.com/2013/09/kelas-online-asas-penulisan-blog-dan.html

 
Beli buku yang anda suka:
http://peminatbukuonline.blogspot.com/

 
Anda ada bisnes?. Iklankan produk/perkhidmatan anda di soho directory:
http://nurzahwanimohdnor.blogspot.com/2013/08/pakej-pengiklanan-servisproduk-di.html

 
Perlukan supplemen untuk kekalkan kesihatan dan kejelitaan anda?. Jom bersama DHati Nutri
http://dihatinutri.blogspot.com/

Hubungi Wani Mohd Nor 
1)SMS/WhatsApp: 
0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn
3)E-Mel: nurzahwanimohdnor@gmail.com
 

Tuesday, September 24, 2013

Tentang Penulis?

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto:Koleksi Akademi Bekerja Di Rumah

Hari ini saya terbaca satu tulisan di mukabuku. Sangat menarik perhatian saya. Ringkas, tetapi bermanfaat dan memberi makna yang mendalam. Untuk saya sekurang-kurangnya. Tulisan ditulis oleh Puan Azzah Abdul Rahman. Beliau adalah seorang penulis dan aktivis.
Kata-kata beliau:-

"Penulis memang sepatutnya menulis. Penulis tidak mesti setiap masa menulis panjang-panjang bagi menunjukkan dirinya penulis. Tulisan yang pendek dan bermanfaat juga dapat membuktikan yang penulisnya adalah penulis. Itu sebab ada novel, cerpen, dan certot. Pilih apa yang mahu ditulis. Panjang ataupun pendek, pastikan setiap ayat berisi, supaya tidak dibaca sebagai sebuah esei leteran." 

Saya suka sekali. Saya tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang penulis. Selalu menulis cerita sekerat-sekerat tidak habis. Tapi saya sangat sukakan bahasa melayu dan selalu skor kertas BM SPM. Sepanjang bekerja, saya hanya menulis jurnal dan prosiding. Pernah juga bekerjasama dengan bantuan pensyarah dan rakan seperjuangan menulis bab di dalam buku. Sangat teruja apabila dapat melihat hasil di tangan.

Sekarang, saya menjadi penulis di blog pula. Walau pun tidak berbayar, insyaAllah, saya harap ada yang mendapat manfaat. Bukan nama yang dicari tapi kepuasan diri. Bukan duit yang dicari tapi saham di akhirat sana.

Saya bukan seorang penulis hebat. Hanya suri rumah yang mahu berkongsi pengalaman dari sekolah kehidupan menggunakan perantaraan blog. Jika anda juga mempunyai impian yang sama, saya membuka jalan untuk anda. Jika anda ragu-ragu untuk menulis, insyaAllah, bersama saya dan rakan-rakan penulis dari rumah, anda tidak keseorangan. Kelas dibuka untuk pendaftaran setiap hari. Rakan-rakan, jika anda berminat, anda boleh hubungi saya.

E-mel:nurzahwanimohdnor@gmail.com
SMS/WhatsApp:0136200432.

Friday, September 20, 2013

Fakta Tentang Kalsium Yang Anda Perlu Tahu

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google

"Saya sakit pinggang!".
Ya, saya sakit pinggang sebab anak bujang saya buat gaya Ultraman lawan raksasa. Sayalah raksasanya. Mengajak anak bermain, itu cadangannya. Ultraman lawan raksasa. Layankan saja. Akibatnya, saya sakit pinggang. Sudahnya, saya ingin tahu tentang tulang membawa kepada pencarian maklumat berkenaan kalsium. Oh!. Panjangnya introduksi. Mudah mencari idea untuk blog?. Bila anda sudah sukakan menulis blog, mencari maklumat dan berkongsi maklumat, sedikit motivasi dan juga latihan, anda pun boleh lakukannya. Jika anda mahukan bantuan tentang blogging boleh hubungi saya untuk menyertai kelas asas blog, penulisan dan fan page bisnes.

Baik. Kembali kepada tujuan sebenar perkongsian. Tentang kalsium. Komposisi kalsium dalam badan kita terpecah kepada dua. Di dalam darah dan juga sebagai komposisi tulang dan gigi. Hanya 1% kalsium terdapat dalam darah dan 99% peratus lagi di bahagian tulang dan gigi. Umum mengetahui kalsium membantu tulang dan gigi, kuat dan sihat. Bagaimana pula fungsi di dalam darah. Pentingkah?. Sangat penting rupanya. Kalsium dalam darah digunakan untuk membantu otot bergerak, untuk saraf membawa impuls antara otak ke setiap bahagian badan, membantu pengaliran darah ke seluruh badan, membantu pengeluaran hormon dan juga enzim. Wah!. Hebat pula kalsium ini.

Pernahkan anda dengar frasa 'pencurian kalsium'?. 

Pencurian kalsium berlaku apabila anda kurang mengambil kalsium daripada makanan. Jadi jumlah 1% daripada keperluan kalsium anda tidak mencukupi. Apabila ia tidak mencukupi, ia akan 'mencuri'!. Mahu tergelak membacanya. Ya. Bukan curi dari sesiapa. Tapi curi dari bahagian tulang anda. Kejadian ini, lama kelamaan menyebabkan tulang anda rongak, iaitu osteoporosis. 

Jadi apa perlu kita lakukan?.

Menabung. Ya menabung kalsium untuk keselamatan di hari tua anda. Banyak-banyaklah makan makanan dari sumber kalsium untuk menabung di bank kalsium. Jika sudah berumur tiga puluhan macam saya, ia sudah terlambat kerana kapasiti untuk menabung sudah tiada. Tiada tempat mahu menyimpan. Sedih. Ibu-ibu muda, ayuh. Simpan kalsium dari sekarang ya. Juga untuk anak-anak, galakkan juga mereka ambil makanan sumber kalsium. Teruskan dari kecil dan jadikan ia rutin hingga besar. Amin. 

Makanan sumber kalsium.

Apa contoh makanan yang kaya sumber kalsium?. Mesti terbayang susu bukan. Betul!. Untuk tambahan lagi, sumber makanan lain adalah ikan bertulang lembut seperti salmon, kekacang, sayuran brokoli, kobis, dan juga bijirin.

Apa lagi rakan baik kalsium?.

Oh, kalsium ada rakan baik?. Ya. Untuk membina tulang dan gigi yang kuat dan sihat, kalsium ada rakan baik iaitu vitamin K dan vitamin D. Gabungan vitamin K dan D ini membantu penghasilan sel untuk pembinaan tulang SERTA mengelakkan kejadian kecurian kalsium. 

Sedarkah kita, kecurian kalsium ini adalah 'bone loss'. Biasa dengar?. 
Ooooohhhhh.... 

Saya hanya berkongsi maklumat.
Salam kesihatan.

*Sumber: http://uniknya.com

-----------------------------------
Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Di Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kelas yang dijalankan adalah:-
1.      Kelas asas blog dan penulisan
 Membina blog yang berpengaruh dan menjenamakan tapak hartanah anda di alam maya.    Tiada asas?. Guru akan tunjukkan caranya.
 
2.      Kelas asas blog dan fan page (bisnes).
 Memulakan perniagaan secara online. Jika tiada produk, kami cadangkan produk yang sesuai.Jika sudah ada produk, ketahui cara promosi yang berkesan


Hubungi Wani Mohd Nor 
1)SMS/WhatsApp: 
0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn

Thursday, September 19, 2013

Pengawet tidak sah, pengawet berbahaya

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google

Mengekalkan makanan untuk tempoh masa yang panjang merupakan satu cabaran. Bagi yang baru mula menjalankan perniagaan berasaskan makanan dalam skala kecil, selalunya akan bermula dengan produk yang bebas pengawet makanan. Bagus bukan. Tetapi apabila mula meningkat jualan dan menjalan bisnes dalam skala yang lebih besar, pengawet makanan merupakan bahan yang dicari untuk memanjangkan tempoh hayat "GUNA SEBELUM ...". Khususnya bagi makanan basah seperti kek, roti, apam polka dot, acar, dodol, sambal tumis, dan lain-lain.

Baik. Mari kenali pengawet makanan.
Pengawet makanan adalah salah satu aditif, ditambah dalam makanan untuk mengelakkan aktiviti mikrob dan seterusnya memanjang tempoh hayat makanan dan mengelakkan makanan itu basi, tidak sedap, busuk, penyebab sakit perut, dan mendapat penyakit. Tapi sedarkah pengusaha makanan bahawa pengawet yang ditambah dengan menyalahi undang-undang yang ditetapkan juga boleh membawa penyakit?. Jadi, sebagai pengguna, mari kita tambah ilmu supaya kita dapat berhati-hati dengan bahan pengawet ini. Saya cuma berkongsi maklumat yang diperolehi dari pembacaan dan perbualan.


Gambar hiasan
Aditif makanan selalunya digunakan dalam kuantiti yang sedikit. Kehadiran aditif makanan dapat dikesan melalui label makanan. E-Number untuk pengawet makanan adalah pada nombor siri 200-299. Jadi, jika kita kesan di label makanan mempunyai E 211, itu maksudnya mengandungi pengawet. Namun, selalunya, pengeluar akan menulis label bahan pengawet berkenaan seperti asid benzoik dan sebagainya. Boleh lihat di sini. Pengawet makanan yang selalu digunakan adalah pengawet sintetik, kerana ia mudah disimpan, didapati, digunakan dan murah. Walau bagaimanapun tahukah anda sebenarnya bahan yang mudah didapati dirumah kita juga adalah bahan pengawet. Ini contohnya, bawang merah, bawang putih, sitrus, oregano, sage, thyme, cengkih, ketumbar, rosemary, pegaga dan senarai itu akan berterusan sejajar dengan penyelidikan yang dijalankan oleh saintis. Jadi, jangan kata pengeluar makanan tiada pilihan untuk memanjangkan hayat makanan seperti yang diinginkan oleh pengguna. Bagi mereka yang baru ingin mengeluarkan produk makanan sendiri, apa kata anda hubungi badan penyelidikan yang sesuai seperti MARDI, Pusat Penyelidikan di UPM, FRIM dan seumpamanya. Mungkin mereka dapat membantu anda mencari pengawet yang sesuai, halal dan thoiyiban.

Apa terjadi jika pengawet makanan berlebihan?.

Berdasarkan tulisan Dr Rahmat Awang dalam Utusan Malaysia bertarikh 9 November 1996, Asid benzoik yang berlebihan akan menyebabkan perkara berikut:-

  • Kerengsaan perut
  • Menjejaskan sistem saraf
  • Bagi pesakit lelah dan ruam kulit (urtikaria dan ekzema), asid benzoik yang berlebihan akan memburukkan keadaan.
  • Para hidroksi benzoat menyebabkan rasa kebas mulut
  • Pesakit yang alah kepada pewarna azo seperti tartazin kemungkinan besar mempunyai alahan yang sama terhadap pengawet benzoat.
  • Begitu juga dengan mereka yang alah dengan penisilin akan mengalami alahan pada pengawet benzoat.
Contoh lain yang diberikan Dr Rahmat Awang adalah kesan penggunan pengawet nitrat dan nitrit yang berlebihan di dalam makanan. Pengawet nitrat dan nitrit atau dalam bentuk garam kalium dan natrium.
Nilai maksimum penggunaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah 200mg bagi setiap 1 kg makanan. Pengawet nitrat dan nitrit selalu digunakan untuk mengawet daging dalam bentuk kering atau basah (dalam tin).

Penggunaan yang berlebihan akan menyebabkan perkara berikut:-

  • Mual
  • Muntah
  • Pening,
  • Tekanan darah rendah 
  • Nadi tidak menentu
  • lemah otot
  • Pengawet nitrat boleh bertukar kepada nitrit apabila makanan basi atau disebabkan aktiviti mikrob (bakteria/kulat) di luar atau di dalam perut. Nitrit boleh bertukar kepada nitrosamina iaitu bahan karsinogen yang menggalakkan kejadian kanser.
Gambar hiasan.
Bagaimana pula dengan bahan pengawet terlarang?. Sebenarnya wujud juga bahan pengawet terlarang, tetapi digunakan dalam makanan. Contohnya seperti formaldehid dalam produk daging kering atau jeruk, asid borik dalam mee, kue teow dan rangkaian produk mee yang lain. Penggunaan pengawet makanan yang berlebihan juga adalah terlarang. Contohnya kes yang berlaku sekitar Oktober 2010 berkaitan dengan produk Indomie yang diimport dari Indonesia. Kes ini sebenarnya dilaporkan di Taiwan. Oleh kerana kita juga mengimport produk yang sama, KKM telah membuat siasatan lanjut mengenainya dan ternyata Malaysia bebas daripada masalah berkenaan.

Hydroxyl Benzoic Acid merupakan bahan pengawet yang digunakan dalam makanan seperti sos soya, jeruk, marmalade dan snek. Setiap negara mempunyai peraturan yang berlainan. Kes yang bermula di Taiwan ini menyatakan bahan pengawet tersebut wujud dalam sos soya Indomie melebihi julat yang dibenarkan iaitu kurang 250mg setiap 1kg makanan. Malaysia pula melarang penggunaan bahan pengawet tersebut dalam sos soya selaras dengan tetapan Codex Alimentarius Commission, iaitu hanya digunakan untuk snek pada julat 300-500mg bagi setiap kg makanan. Nyata selepas pemeriksaan, hasilnya adalah negatif dan produk selamat di makan. Iya, setiap negara peraturannya berlainan. Tetapi dari segi kesihatan, Joint FAO/WHO Expert Committe on Food Additive (JECFA) menetapkan had pengambilan harian hydroxyl benzoic acid adalah 10mg bagi setiap kg badan, tanpa menyebabkan masalah kesihatan.

Gambar hiasan
Jika dibaca, diteliti memang menakutkan kisah pengawet makanan. Belum cerita lagi tentang tepung 'bleached'. Buatlah pilihan yang bijak. Kita adalah pengguna. Kita yang menentukan pasaran bukan?. Kesimpulannya, baca label makanan semasa membuat pembelian. Sebolehnya elakkan makanan yang mempunyai pengawet, makan makanan segar, lihat tarikh luput makanan.

Saya hanya berkongsi maklumat. Salam kesihatan dari bijak nutrisi.
--------------------------------------------------------------------------------------

Sertai kelas yang dihadiri oleh warga besar Akademi Bekerja Dari Rumah, sesuai untuk suri rumah sepenuh masa atau pun bercita-cita menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kelas yang dijalankan adalah:-
1) Kelas asas blog dan penulisan
    Membina blog yang berpengaruh dan menjenamakan tapak hartanah anda di alam maya.
    Tiada asas?. Guru akan tunjukkan caranya.

2) Kelas asas blog dan fan page (bisnes).

    Memulakan perniagaan secara online. Jika tiada produk, kami cadangkan produk yang sesuai.

Jika sudah ada   produk, ketahui cara promosi yang berkesan

Iklankan bisnes anda di www.sohodirectory.blogspot.com. Hubungi penulis untuk pakej dan info.

Hubungi Wani Mohd Nor 
1)SMS/WhatsApp: 0136200432 atau
2)https://www.facebook.com/zahwanimn

Wednesday, September 18, 2013

Pengawet makanan.

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jika kita biasa melihat dan membaca label makanan, kita akan selalu lihat frasa “ tanpa pengawet tiruan”. Umumnya sudah tentu suka frasa begini. Tiada pengawet tiruan. 

Apa sebenarnya pengawet? Apakah pengawet tiruan dan wujudkah pengawet bukan tiruan a.k.a pengawet semulajadi?.

Apakah pengawet makanan?

Pengawet makanan sebenarnya adalah salah satu daripada bahan tambahan makanan/aditif (additive).
Kementerian Kesihatan Malaysia menggariskan pengawet makanan bermaksud apa sahaja bahan yang ditambah kepada makanan untuk merencat, menyekat dan menahan proses penguraian, penapaian atau pengasidan makanan tetapi tidak termasuk herba, rempah, cuka atau asap kayu. 

Daripada garis panduan di atas, rasanya ia jelas bukan?. Maksudnya herba, rempah, cuka dan asap kayu merupakan bahan yang boleh mengawetkan tetapi ia dikelaskan sebagai pengawet bukan tiruan. Bahan pengawet makanan sintetik bukan sebahagian daripada nutrisi. Manakala bahan pengawet semulajadi mempunyai nilai nutrisi yang boleh dimanfaatkan.

Contohnya, suka tidak anda makan jeruk?. Teringat pula makcik saya yang rajin menjeruk cermai dipetik dari belakang rumah. Bila tiba musim, sampai tak larat nak makan. Dari terbuang, makcik saya menjerukkannya. Bahannya mudah. Gula, dan garam sahaja. Tapi sekarang, jeruk yang dijual ada yang gunakan cuka. Ada juga yang menggunakan madu. Ini semua adalah bentuk pengawetan makanan, menggunakan kaedah dan bahan semulajadi. Cuma kaedah menjeruk ini konsepnya untuk menjadikan makanan lebih berasid, bukan pula menjadikan ia menapai atau mengurai. Contoh lain pengawetan makanan adalah membuat ikan masin, budu, sayur masin, cencaluk dan seangkatan dengannya. Kebanyakannya mengunakan kaedah dan bahan semulajadi. Maksudnya bukan menggunakan bahan sintetik.

Jangan pula mengatakan pengawet ini bahan kimia dan tidak boleh ditambah ke dalam makanan. Garam dari laut semulajadi juga bahan kimia, tapi ia semulajadi. Air dan udara juga adalah komposisi kimia. Jadi jangan pula anggap, asal saja sebutannya adalah melibatkan karbon, oksigen dan hidrogen. Terus kita meloncat dan melenting. Makanan ini disahkan bahaya!. Wow. Keras pula amarannya. Ada pula yang marah mengatakan marjerin=plastik. Tersengih-sengih saya membaca dakwaan itu. Oh My Chemistry Languange???.

Apa contoh pengawet sintetik/tiruan?

Contoh bahan pengawet tiruan yang dibenarkan oleh Peraturan-peraturan makanan 1985 adalah:-
  • Sulfur Dioksida
  • Asid benzoik
  • Asid Sorbik
  • Asid Propionik
  • Unsur garam natrium
  • Unsur garam kalium (nitrat, nitrit)
  • Unsur garam kalsium
  • Klorin dioksida
  • Hidrogen peroksida
Senarai ini adalah pengawet makanan diklasifikasikan sebagai  “pengawet makanan yang dibenarkan”. Tapi pernahkah anda lihat frasa “ mengandungi pengawet makanan tidak dibenarkan”. Lucu jika ada pengeluar makanan guna frasa yang terang-terangan begini kan?. Semuanya mesti letak “mengandungi pengawet makanan yang dibenarkan”, walau pun terdapat pengawet yang tidak dibenarkan.
 
Apa contoh pengawet makanan yang tidak dibenarkan tetapi selalu ada dalam makanan?. Jeng jeng jeng...  Nantikan entri seterusnya. 
----------------------------------------------------
Iklankan bisnes/produk/perkhidmatan di www.sohodirectory.blogspot.my.

Baru mula nak bisnes secara online tak tahu mana nak mula?
Sertai kelas asas secara online untuk Blog dan fan page (bisnes) 

Ada blog tapi  tiada pembaca?.
Belajar Asas penulisan dan blog.

Hubungi saya:-
SMS/WhatsApp 0136200432
E-mel: nurzahwanimohdnor@gmail.com

Sunday, September 15, 2013

Awal agama mengenal Allah

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Google

Bismillah...
Semalam hari Sabtu. Dengan izin-Nya saya berjaya hadir kuliah agama di kampung saya. Jarang-jarang dapat peluang kerana ada saja pelbagai perkara mahu buat di hari Sabtu. Tapi kali ini saya berjaya hadir. Alhamdulillah.

Sebenarnya kelas ini adalah kelas mengenal sifat-sifat Allah. Baru sampai sifat BASAR. Sukar saya menceritakan di sini maksudnya. Ustazah berpesan, dalami ilmu Allah dengan berguru. Jadi, saya rasa, elok juga semua berguru dan mengenal Allah. Sebenarnya berat tanggungjawab ini. Saya tahu, belajar ilmu fardhu ain itu memang wajib. Namanya pun fardhu ain. Tertibnya, solat taubat dan belajarlah fardhu ain sebelum kita menutup mata. Allah..

Adakah kita ahli syurga?. Ia rahsia Allah. Tapi ustazah berpesan. Kata-kata kita itu doa. Mulakan setiap pagi, dengan berkata pada diri sendiri, " Ya Allah, aku wanita ahli syurga Ya Allah". Doalah. Saya yakin, semua mahu masuk syurga kan.


Saturday, September 14, 2013

Akademi Online. Apakah itu?

Teks: Nurzahwani Mohd Nor
Foto: Koleksi Akademi Bekerja Di Rumah

Anda ada perasaan macam ini bila baca "AKADEMI BEKERJA DI RUMAH"
"Apo la nei?. Macam-macam. Dari rumoh pun nak dibueknya Akademi. Online pulak tu."
Kan... .



Apakah Akademi Bekerja Di Rumah?

Jadi, biarlah saya cerita, agar terang lagi tersuluh. Akademi Bekerja Dari Rumah diasaskan oleh seorang SURI RUMAH, khusus untuk SURI RUMAH yang berada di rumah sepenuh masa menjadi pengurus rumah, mahu pun SURI RUMAH yang bekerja di luar rumah mengurus kerja di pejabat sambil melakukan kerja sampingan dari rumah. Pengasasnya adalah Puan Masayu Ahmad. Beliau dahulunya juga seorang suri rumah yang mencari pendapatan di luar rumah. Sama seperti saya. Kemudian melangkah setapak lebih jauh dengan berhenti kerja dan bekerja untuk diri sendiri, bagi membantu rakan-rakan suri rumah yang lain. Perkara ini diterapkan dalam Akademi Bekerja Di Rumah, setiap ahli akademi yang berkhidmat sebagai pembantu dan guru online diperingatkan dari semasa ke semasa tentang NIAT ini. MEMBANTU SURI RUMAH MENJANA PENDAPATAN DARI RUMAH. Seperti beliau. Jadi, jangan kata IA MUSTAHIL. Ia hanya mustahil hanya bila dan apabila anda memandang Akademi ini sebelah mata dan biarkan iklan ini berlalu begitu sahaja. Sungguh keras bunyinya. Itu dinamakan kenyataan yang harus diingatkan.

Objektif Akademi Bekerja Di Rumah.
Sudah dinyatakan di atas. membantu suri rumah yang mengurus rumah sepenuh masa dan suri rumah bekerja di luar rumah, untuk menjana pendapatan dari rumah.

Modus Operandi
Pendekatan yang digunakan sangat mudah kerana memahami kekangan masa yang dihadapai oleh suri rumah. Sedia maklum, isteri dan ibu seorang yang sentiasa sibuk. Tidak kira sama ada bekerja di rumah mahu pun di luar rumah. Jadi, mudah. Gunakan online. Melalui FB, Blog, WhatsApp. Bak kata seorang ahli akademi yang belajar membuat blog, "sambil kupas kunyit". Lucu?. Itu realiti ya.

Aktiviti yang dijalankan di Akademi Bekerja Di rumah:-
  1. Kelas Asas Online Blog dan Penulisan
  2. Kelas Asas Online Blog dan Fanpage
  3. Penjualan Barangan digital
  4. Penjualan produk fizikal iaitu buku dan barangan sunnah melalui sistem dropship
  5. Pakej pengiklanan
Bagi yang layak dan melepasi kayu ukur yang ditetapkan oleh Puan Masayu, pelajar dari kelas asas secara online, boleh menjadi agen pengiklan, pembantu kelas dan juga guru online.

Guru Online Akademi Bekerja di Rumah
Sukar juga untuk melepasi tahap ini. Saya masih lagi berada di tahap pembantu kelas. :). Kena gigih berusaha. Jadi, apakah guru online?. Mudah. Macam cikgulah. Mengajar di kelas asas tapi secara online, dua puluh empat jam sehari. Guru akan menjawab soalan anak murid. Sama ada lambat atau cepat, itu bergantung kepada situasi. Janji ada talian internet, pc atau smartphone.Talian terus menerus.

Pandang peribadi saya terhadap Akademi
Kalau di awal tadi saya utarakan pendapat anda kepada Akademi. Sekarang, saya ceritakan pula pendapat peribadi saya, sebagai seorang yang telah berada di Akademi ini sebagai pembantu kelas online.
Sejujurnya saya gembira berada dalam komuniti ini. Sokongan moral, tunjuk ajar dari pengasas dan juga rakan online sangat mengujakan. Walau pun kita mengajar, kita bukan tahu semua. Jadi, semasa mengajar, saya belajar juga dari rakan. Kadang-kadang terus menerus. Ambil dari atas terus turunkan ke bawah. Jadi, anak murid yang rasa cikgu lambat. itu lah sebabnya. Sungguh. Ilmu Allah itu maha luas. Kadang-kadang apa yang kita tidak fikirkan akan ditanya oleh anak murid kan.

Sebagai ahli akademi, pelajaran tidak terhad kepada blog dan fan page sahaja. Tapi saya banyak belajar tentang melakukan bisnes, promosi sungguh-sungguh di facebook. Jujurnya dulu memang MALU. Tapi sekarang seronok pula. Tambah lagi bila saudara mara ada yang memberi sokongan juga. Terima kasih semua. Iyalah walau pun semasa saya menerima pelajar pertama, saya beritahu pada emak. Saya dapat jadi cikgu onlie. Doakan saya dapat ramai lagi pelajar. Maklumbalas yang saya terima " Jadi cikgu sekolah aje".
Lucu pula. Tidak mengapa. Saya cikgu di Akademi Bekerja Di Rumah. Pendapatan yang saya terima ini halal. Apa yang saya usahakan, itu yang saya dapat. Saya layak dapat apa yang saya usahakan sahaja. Maksudnya jika tidak usaha, tak dapat apa-apa kan. Itulah konsep disini. Kerja di Akademi, bukan gaji ikut bulan. Tapi ikut usaha anda. Sukar?. Saya sukakannya. Kenapa?. Itu rahsia Allah.

Jadi, mahukah anda menyertai keluarga besar kami?. Ia semakin membesar. Mungkin suatu hari nanti akan bertemu muka. Membuat perjumpaan akademi sekali sekala. Membuat kursus jelajah se Malaysia. Memenuhi undangan kolej-kolej, mengadakan seminar jutawan suri rumah pula seperti Dr Azizan Osman. Oh angan-angan.

Jom sertai sekarang.
Hubungi saya.
https://www.facebook.com/zahwanimn
Isi borang di sini
http://nurzahwanimohdnor.blogspot.com/p/borang-tempahan.html

 

Friday, September 13, 2013

Tujuh sebab kenapa kita perlu berjaya dan kaya

Teks: Nurzahwani Mohd Nor

Sudah ramai yang mempunyai kesedaran untuk berniaga. Memang sungguh, 9/10 punca rezeki datang dari perniagaan. Orang kita sudah mula mengorak langkah. Tambah lagi, kita sudah tahu, tidak perlu untuk bergolok-gadai turun naik bank untuk mulakan langkah pertama dalam perniagaan. Orang kita juga ramai yang sudah berjaya dan berkongsi pula pengalaman mereka untuk berjaya dalam perniagaan. Tidak kurang yang memberikan motivasi berkobar-kobar. Saya sangat suka berada dalam komuniti orang-orang bisnes. Perkara yang saya tidak pernah impikan masa zaman bekerja dulu. Bukan tiada kawan sekerja yang berniaga sendiri. Ramai. Yang sanggup tolong saya dengan skim pinjam produk untuk diniagakan pun ada. Beri saya baju untuk dijual tanpa perlu bayaran dan pulang bila tidak laku. Saya masih ingat En Rahman. Jasamu dikenang. Itulah permulaan saya berniaga di kuarters, membuat blog yang tidak menjadi, buat iklan dan tampal di papan kenyataan kuarters, bawa baju ke rumah pelanggan, belajar komunikasi melayan pelanggan. Kenangan terindah. Terima kasih, terima kasih. Apa khabar Encik Rahman sekarang ya?. Mungkin sudah berhenti kerja dan menjadi peniaga sebenuh masa.

Kenapa kita kena kaya dan berjaya?

Mentaliti saya dulu kala, buat apa nak cari duit beriya mahu kaya sangat sampai anak terabai di rumah orang?. Kenapa kena bodek bos?. Takut muka kita tercicir bila bos mahu beri kenaikan pangkat, sampai anak kita hantar Isnin sihat, menjelang Jumaat sudah demam. Kenapa kita terus biarkan susu tidak dipam bila terpaksa berada dalam mesyuarat penting di mana kita sebagai pengerusi sehingga susu untuk anak akhirnya kekeringan? Adui. Mencabar sungguh mencari wang untuk kaya dan berjaya. Ya, untuk kaya dan berjaya.
Bila sudah berhenti kerja, baru terang sikit, sebenarnya untuk kaya dan berjaya, bukan ada satu cara saja bukan?. Bukan hanya dengan bekerja makan gaji dengan orang. Kita boleh kerja untuk kita sendiri. Tapi tidaklah kata orang yang bekerja tidak boleh berjaya dan kaya. Ramai saja para doktor yang kaya dan berjaya kan?. Siap dapat pangkat Dato' bagai. Tapi berniaga salah satu caranya. 9 dari 10 punca untuk berjaya dan kaya. Rupanya kan... .Cara paling mudah, gunakan blog, mula dengan dropship. Modalnya hanya usaha dan keyakinan diri. Motivasi dari rakan-rakan. Dulu rasa kekok. Sekarang mula rasa seronok. Walau pun belum lagi cecah ribuan ringgit sebulan. Sekurang-kurangnya ada tambahan pendapatan. Dalam bisnes, konsepnya man jadda wajadda. Siapa usaha dia berjaya.

Jadi, bila sudah kaya berjaya, apa lagi?. Jangan lupa untuk infakkan kepada orang lain. Pendapatan yang kita dapat, belum tentu rezeki kita semuanya. Mungkin rezeki orang lain. Rezeki yang sebenar adalah pahala yang ingin kita bawa ke alam sana. InsyaAllah, bila zakat dan sedekah, dikurniakan pula pendapatan bertambah-tambah. Saya mendapat pesanan begini,
" Niatkan zakat ya. Ustaz saya berpesan, pada bila-bila masa kita mengeluarkan wang untuk membantu orang lain, niatkan zakat. Jika zakat sudah habis dibayar semua, automatik wang itu jadi sedekah. Tetapi tidak sebaliknya...". Saya tidak pernah tahu tentang ini. Alhamdulillah ilmu baru. Saya bukan ustazah untuk bercerita panjang, cuma sekadar mengingatkan saja. Saya hanya suri rumah saja. 

Ini saya kongsikan apa yang saya terima pagi ini. Dikongsi oleh rakan-rakan.

Tujuh sebab kenapa kita perlu berjaya dan kaya
  1. Bila ibu bapa masih belum mampu menunaikan rukun Islam ke-5 iaitu menunaikan haji, siapakah akan membantu menunaikan hajat dan impian mereka?. Tergamakkah kita katakan "aku pun tak ada duit."
  2. Bila ibu bapa anda perlukan duit untuk sesuap nasi, seteguk air, siapa yang menanggung mereka?. Tergamakkan kita berkata," aku pun tak cukup makan.'
  3. Bila ibu bapa sakit, siapa yang uruskan bil-bil perubatan?. Adakah kita hanya pejam mata, pekakkan telinga?. Mereka tidak pernah meminta dari kita kerana mereka memahami keadaan kita. Tapi adakah kita memahami keadaan mereka?. Tergamakkah kita berkata, "aku ada banyak hutang nak kena bayar bulan ni."
  4. Bila ibu bapa anda bersedih kesunyian, tiada anak datang menjenguk, siapa akan pulang melihat mereka sedangkan anda sibuk sibuk dan sibuk memanjang. Mereka hanya perlukan kita beberapa ketika sahaja kerana mereka sudah merasai tidak lama lagi mereka akan berhijrah ke alam kubur yang jauh lebih sunyi. Tergamakkah kita berkata," aku bukan tak nak balik, tapi bos tak bagi cuti, kena outstation."
  5. Bila ibu bapa anda ditakdirkan meninggal dunia, siapakah yang berada disisinya dan menguruskan jenazahnya?. Perhatikan wajah ibu/bapa kita buat kali terakhir sebelum kain kapan menutup wajah mereka. Adakah wajahnya dalam kecerian atau kesedihan. Tergamakkah kita berkata, "aku bukan tak nak balik masa dia sakit, tapi masa tu tengah sibuk sangat".
  6. Bila ibu bapa sudah tidak mampu uruskan diri mereka akibat keuzuran, mampukah anda uruskan? Ibu bapa kita tak pernah buang kita walau pun kita banyak kerenah. Mereka bergolok gadai bertungkus lumus besarkan kita. Mampukah kita menguruskan mereka dengan usaha kita sendiri?. Tergamakkah kita berkata, "aku sibuk,biarlah adik-beradik yang lain uruskan."
  7. Bila ibu bapa anda minta duit untuk beli sesuatu yang mereka hajatkan, bolehkah anda beri tanpa sebarang alasan?. Ketahuilah, walau apapun kita lakukan untuk ibu bapa kita,kita masih belum mampu membalas jasa mereka. 
Sedarlah saudara/saudari. Berkhidmatlah untuk ibu bapa sementara mereka masih hidup. Sedarlah beberapa hari lagi kita dapat melihat dan bersama ibu bapa kita kerana pengorbanan mereka sangat besar pada kita..
Buktikan pada mereka, zuriat yang mereka lahirkan dan besarkan ini adalah zuriat yang sangat hebat. Biar pun 100 orang, 1,000 orang mahupun 10,000 orang mahu tengok kita gagal, ada orang yang benar-benar nak tengok kita berjaya, iaitu ibu bapa kita.

Buat kerja sambilan

Buat kerja sambilan, 'part time'. Hati-hati ya. Jangan lupa kita berada di mana. Jika sedang berada di pejabat, awas. Berpada-padalah. Masa dan fasiliti adalah untuk kegunaan pejabat. Kenang kembali Saiyidina Umar yang menutup lilin untuk bincang hal keluarga kerana tidak mahu menggunakan hak kerajaan dan rakyat. Saya sekadar mengingatkan saja. Cuba gunakan waktu rehat dan hak peribadi untuk perkara peribadi.

Bukan senang nak senang. Usaha, usaha, usaha.
++++++++++++++++++
Sertai kelas blog secara online.
http://nurzahwanimohdnor.blogspot.com/2013/09/kelas-online-asas-penulisan-blog-dan.html

Tumit awak merekah tak? Saya nak kongsi pengalaman...

Assalamualaikum. Hari ini nak cerita tentang tumit merekah. Kisahnya saya bermula dengan produk Shaklee asbab tumit merekah....

Popular Posts